suria

Kekecewaan Farhan Bakal Terubat

KEKECEWAAN penjaga gol muda Kedah selepas terlepas lima perlawanan persahabatan pra musim bakal terubat apabila kembali menjalani sesi latihan pada petang Sabtu di Alor Setar.

Farhan Abu Bakar, 23, yang akan mengisi posisi penjaga gol utama skuad Helang Merah musim ini terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan lutut dalam sesi latihan yang diadakan awal bulan ini.

Namun bekas penjaga gol skuad Harimau Muda itu mengakui telah pulih daripada kecederaan dan tidak sabar untuk kembali di atas padang bersama rakan sepasukan.

"Saya memang sedikit kecewa apabila tidak dibenarkan bersama skuad yang menjelajah ke selatan Thailand untuk menentang tiga pasukan kerana perlu berehat secukupnya sebelum aksi Liga Malaysia bermula pada Februari ini.

"Kekecewaan ini kerana saya sangat teruja untuk beraksi bersama Kedah. Mungkin kerana sasaran saya sejak dibangku sekolah untuk menjadi penjaga gol negeri ini.

"Tetapi sebelum dapat ke posisi penjaga gol utama saya akui perlu bersaing dan menunjukkan kemampuan selain berjaya mengawal gawang dengan kemas agar ia tidak mengecewakan rakan sepasukan dan penyokong. Saya akan melakukan yang terbaik jika diberi peluang ketika bertemu Perlis pada 1 Februari ini," jelasnya kepada mStar Online.

Tambah pemain tinggi lampai dan kacak itu, pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa bersama  Harimau Muda dan skuad Sukan Sea tahun lalu telah mendidiknya untuk lebih matang dan berdisiplin dalam mengendalikan tugas sebagai penjaga gol.

"Saya akui nama dan pengalaman di peringkat antarabangsa sahaja tidak mampu menjamin tempat dalam kesebelasan utama Kedah dan dengan mempamerkan prestasi cemerlang barulah kepercayaan akan diberikan.

"Saya tidak sabar untuk berada dalam kesebelasan utama setelah menyaksikan pasukan Kedah beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu di kaca televisyen, inilah impian saya sejak berusia 14 tahun. Kini saya akan menggandakan usaha demi meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan.

"Saya tidak menjangka akan mendapat peluang berada dalam pasukan Kedah musim ini, kini saya perlu memastikan dapar bergelar penjaga gol utama," ujar Farhan.

Liga Malaysia, Helang Merah, Kedah

Artikel Lain