suria

Syazwan Zainon Cabar Diri Demi Kedah

SYAZWAN Zainon mencabar dirinya untuk menjadi lebih baik di atas padang berbanding musim lalu bagi  membantu pasukan Kedah melakar kejayaan.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil sebelum mewakili Kedah pada 2013 di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Mario Tot.

Penolong Pengurus Kedah, Amirul Nizam Mahadzir merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Syazwan ke Stadium Darulaman dan musim lalu pemain tersebut berjaya membantu Kedah menjuarai Liga Super.

"Selama tiga tahun saya bersama pasukan Kedah, saya berjaya meningkatkan mutu permainan dan membantu skuad Helang Merah meraih kejayaan. Kejuaraan Liga Premier yang dimenangi musim lalu bukan usaha saya seorang tetapi adalah kerja keras daripada kesemua pemain.

"Saya memang puas hati dengan prestasi musim lalu, tetapi masih yakin dapat memberikan lebih baik untuk musim ini kerana bermain bola sepak bukan sahaja setakat 'periuk nasi' saya malah kini ia membuatkan saya ketagih  untuk bermain setiap hari.

"Saya yakin Kedah mampu meraih banyak lagi kejayaan musim ini dan pada musim akan datang kerana pengetahuan yang dicurahkan oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berjaya meningkatkan mutu permainan kesemua pemain termasuk diri saya," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, dalam lima perlawanan pra musim, dia berjaya menghasilkan tiga gol hasil bantuan rakan sepasukan, namun jumlah itu tidak menjadi ukuran kerana ujian sebenar adalah apabila Liga Malaysia bermula.

"Jurulatih berjaya meningkatkan prestasi kesemua pemain dan keserasian antara kami untuk beraksi sebagai sebuah pasukan. Bukan setakat dalam padang tetapi kami dipupuk seperti sebuah keluarga apabila di luar padang.

"Suasana harmoni dalam pasukan serta tidak ada perasaan dengki ataupun kecewa kerana menjadi pemain simpanan tidak wujud dalam pasukan Kedah kerana kami mengetahui hanya yang terbaik sahaja mampu meletakkan diri mereka dalam kesebelasan utama musim ini.

"Bukan setakat kesebelasan utama, tetapi kami perlu bersaing untuk disenarai di kalangan 18 pemain yang akan dibawa pasukan dalam setiap perlawanan nanti," jelasnya.

Kedah, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain