suria

Zulfadil, Iskandar Mara Ke Pusingan Ketiga

Zulfadli Zulkiffli.

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara, Zulfadli Zulkiffli melakukan kejutan apabila mengalahkan pemain pilihan ketiga, Son Wan Ho untuk melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Stadium Tertup Babu Banarasi di Lucknow, India, awal pagi Khamis.

Pada pusingan kedua, bekas juara remaja dunia 2011 itu mengetepikan cabaran pemain Korea Selatan itu dengan kemenangan 21-19 dan 21-13 selepas membuka langkah dengan menumpaskan pemain Indonesia, Wibowo Kho Henrikho 21-9, 21-10.

Selain itu, pemain pelapis negara, Goh Soon Huat turut mengikut jejak Zulfadli apabila mengejut pemain veteran Jepun, Sho Sasaki, yang juga pemain pilihan kelapan, dalam straight set 21-18 dan 21-10.

Goh sebelum itu telah menewaskan pemain India, Aditya Prakash 21-11, 21-12 dalam perlawanan pembukaan.

Turut mara ke pusingan ketiga ialah juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menerima tentangan sengit daripada pemain Israel, Misha Zilberman sebelum menang 21-15, 24-22.

Iskandar, yang baru-baru ini, muncul naib juara Masters Malaysia, sebelum itu mengalahkan pemain India, R. M. V. Gurusaidutt 21-10, 21-17 pada pusingan pembukaan.

Nasib bagaimanapun tidak memihak kepada seorang lagi pemain Malaysia, Soong Joo Ven yang kalah 18-21, 14-21 kepada pilihan utama, K. Srikanth dari India dalam perlawanan pusingan kedua.

Soong sebelum itu menewaskan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 21-18, 21-17.

Dalam acara perseorangan wanita, juara remaja dunia, Goh Jin Wei, merupakan wanita tunggal negara layak ke pusingan kedua selepas mengalahkan pemain Indonesia, Fitriani dengan straight set 21-9, 21-9.

Pemain utama wanita negara Tee Jing Yi tewas 21-17, 19-21, 18-21 kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hsin sementara Ho Yen Mei kalah 19-21, 14-21 kepada pemain Thailand, Porntip Buranaprasertsuk.

Dalam acara beregu lelaki, beregu utama Goh V Shem/Tan Wee Kiong melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto/Noriyasu Hirata 21-14, 21-12 dalam perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun, Goh/Tan menghadapi tugas berat menentang bekas juara dunia, Ko Sung Hyun/Shin Baek Cheol pada pusingan seterusnya selepas beregu Korea Selatan itu menumpaskan beregu tuan rumah, Manu Attri/B. Sumeeth Reddy 21-18, 21-16 dalam satu lagi aksi pusingan pertama.

Dalam pada itu, beregu profesional negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong terkeluar daripada kejohanan selepas tewas 9-21, 21-17 dan 16-21 kepada pilihan ketiga iaitu beregu Denmark, Mads Conrad-Petersen/Mads Pieler Kolding pada saingan pembukaan.

Satu-satunya wakil Malaysia dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menunjukkan aksi baik selepas menewaskan gandingan India, Bhaskar Chakraborty/Rachita Sahdev 21-18, 21-15.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita berakhir selepas dua pasangan  - Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei dan Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho - masing-masing tewas kepada pasangan lawan dalam aksi pembukaan.

Hoo/Woon, selaku pilihan keempat, tewas 18-21, 21-16 dan 13-21 kepada beregu Thailand, Puttita Supajirakul/Sapsiree Taerattanachai manakala Amelia/Soong, pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura, tumpas 13-21, 25-23, 18-21 kepada beregu China, Du Yue/Li Yinhui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain