suria

Wei Feng, Goh Mara Ke Pusingan Ketiga

Chong Wei Feng.

KUALA LUMPUR: Pemain badminton elit perseorangan negara, Chong Wei Feng mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das, Lucknow, India pada Rabu.

Pemain berusia 28 tahun dari Kedah itu mengejutkan pemain pilihan ke-14, Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand dengan mata 18-21, 26-24 dan 21-19 dalam masa 67 minit permainan.

Wei Feng yang sebelum ini menewaskan pemain India, Kartik Jindal, 21-19 dan 21-17 dalam perlawanan pembukaan, dijadualkan akan bertemu Shi Yuqi dari China dalam perlawanan pusingan ketiga pada Khamis.

Turut melayakkan diri ke pusingan seterusnya ialah pemain pelapis negara, Goh Giap Chin yang berhempas pulas menundukkan Aditya Joshi dari India dengan 17-21, 21-16 dan 21-17 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Goh, sebelum ini juga terpaksa bermain dalam rubber set ketika menentang pemain Perancis, Thomas Rouxel sebelum menang dengan mata 15-21, 21-9 dan 22-20 dalam perlawanan pembukaan.

Beliau dijadualkan bertemu rakan sepasukan, Zulfadli Zulkiffli dalam perlawanan pusingan ketiga. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain