suria

Hanya Pemain Terbaik Dalam Kesebelasan Utama - Zainal Abidin

Zainal Abidin Hassan.

PETALING JAYA: Jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan masih belum memutuskan kesebelasan utama skuad Merah Kuning itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan membuka bulan depan.

Menurut beliau, setiap pemain perlu membuktikan kemahiran dan ketangkasan mereka di atas padang untuk merebut tempat dalam skuad utama pasukan ini.

"Buat masa ini, saya masih belum memutuskan senarai pemain yang akan mengisi kesebelasan utama pasukan. 

"Saya hanya akan turunkan pemain terbaik, jadi dua pemain di setiap posisi terpaksa bersaing untuk merebut tempat masing-masing," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas bekas jurulatih Pahang itu, komitmen setiap pemain akan dinilai dalam setiap sesi latihan selain prestasi semasa aksi pra persahabatan yang bermula malam Selasa.

"Saya akan ambil kira komitmen pemain dalam dua sesi ini. Jadi pertukaran pemain akan terus dilakukan, pemain hanya perlu buktikan komitmen mereka," katanya.

Mengulas lanjut mengenai corak permainan pasukan itu, Zainal berkata setiap pemain masih belum memenuhi standard permainan yang dikehendakinya.

"Banyak perkara yang perlu saya gilap terutamanya dari aspek fizikal, corak permainan dan kombinasi setiap pemain... mungkin ia masih baharu lagi untuk mereka," katanya.

Namun beliau berkata, fokus utamanya pada ketika ini adalah untuk mewujudkan keserasian di kalangan pemain.

"Itu paling penting, kita nakkan keserasian kerana bukan semua pemain sama macam tahun lepas. Saya akan cuba perbaiki apa jua kekurangan dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya mengenai persediaan pasukan itu dalam menghadapi aksi Liga Malaysia musim ini, Zainal berkata setiap pemain perlu menggandakan usaha untuk mengulangi pencapaian terbaik apabila muncul juara Piala Malaysia pada tahun lalu.

"Apabila jadi juara, ini bermakna untuk mengekalkan kejuaraan itu pemain perlu beri komitmen dua kali ganda.

"Selangor merupakan sebuah pasukan elit, jadi penyokong dan persatuan bola sepak Selangor (FAS) sentiasa meletakkan harapan tinggi kepada pemain untuk membawa lebih banyak kejayaan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala FA

Artikel Lain