suria

Tajaan: Rita Sosilawati Rancang Adakan Pertemuan Dengan 'Orang Kuat' KBS

PETALING JAYA: Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari dikatakan merancang untuk bertemu dengan 'orang kuat' di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung hasratnya dalam membantu membangunkan sukan negara menerusi tajaan.

Menurut sumber kepada mStar Online, Erni Dekritawati atau Rita Sosilawati berhasrat untuk bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau timbalannya, Datuk M. Saravanan.

Difahamkan, sekiranya pertemuan itu direalisasikan, Rita akan mengambil peluang itu untuk meminta pandangan dan nasihat daripada Khairy dan Saravanan dalam soal kerjasama dan tajaan dalam sukan tempatan termasuk bola sepak.

"Apa yang saya difahamkan, itu adalah hasrat Rita yang mahu mengadakan pertemuan dengan YB (Yang Berhormat) KJ (panggilan untuk Khairy) atau Datuk Saravanan, atau mungkin kedua-duanya sekali.

"Bagaimanapun, perkara itu sekadar hasratnya sahaja. Pertemuan yang bagaimana, bila dan di mana itu saya tak pasti. Kalau Rita berpeluang bertemu dengan YB KJ atau Datuk Saravanan dalam mana-mana majlis, itu memang rezeki dialah," katanya kepada mStar Online namun enggan dikenali.

Rita ketika dihubungi mStar Online mengakui mempunyai hasrat tersebut namun terlalu awal untuk mengulas lanjut.

"Hasrat itu memang ada. InsyaAllah jika ada kesempatan ruang dan peluang dalam majlis yang dihadiri oleh YB Menteri, Timbalan Menteri, saya akan cuba sampaikan hasrat untuk adakan pertemuan tersebut," katanya tanpa mengulas lanjut.

mStar Online pada Selasa melaporkan anak sulung jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya itu tidak menolak untuk menaja sukan lain, selain bola sepak selagi terdapat kerjasama yang membawa kepada situasi menang-menang.

"Saya mahu kerjasama ini bukan dalam masa singkat malah berterusan dalam membantu perkembangan sukan tersebut tetapi tidak dinafikan selain itu perlu ada 'win-win situation' antara kedua-dua pihak supaya dapat memberikan hasil yang memuaskan," katanya.

"Mungkin saya perlu minta satu temujanji daripada Menteri Belia dan Sukan, YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri, Datuk M. Saravanan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat dalam konteks untuk bekerjasama dalam pembangunan belia dan sukan negara termasuk soal tajaan," katanya secara berseloroh.

Rita sebelum ini merupakan penaja utama bagi program realiti, Akademi Fantasia 2015.

Pada masa sama, syarikat yang diterajui Rita telah pun mewujudkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini dalam meningkatkan kemahiran golongan belia. (gambar atas)

Artikel Sebelum

Keputusan Piala FA

Artikel Berikut

Artikel Lain