suria

Mohd Azrif Nasrulhaq Masih Pemain Selangor - Amirudin

Aksi Mohd Azrif Nasrulhaq (kanan) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Disember lalu.
KUALA LUMPUR: "Mohd Azrif Nasrulhaq (Badrul Hisham) masih milik Selangor dan akan beraksi dengan kami dalam saingan Liga-M (Malaysia) 2016."

Itu pendirian tegas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menolak tawaran tebus kontrak bernilai RM960,000 oleh pemain pertahanan kanan berusia 24 tahun itu, Isnin.

Difahamkan wang itu disediakan oleh satu pasukan dari selatan tanah air yang mahukan khidmat Mohd Azrif, antara tonggak Selangor musim lepas, bagi memantapkan pasukan mereka.

Pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari berkata Mohd Azrif yang mampu beraksi sebagai pemain sayap kanan, akan tetap mewakili juara 33 kali Piala Malaysia itu untuk Liga-M musim ini.

"FAS akan membawa kes pemain ini kepada Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sekiranya ada usaha daripada pasukan lain memancing Mohd Azrif," kata Amirudin dalam kenyataan Selasa.

Beliau berkata Mohd Azrif telah menandatangani kontrak lanjutan sehingga 30 November 2017 bersama FAS minggu lepas selain mengisi borang C03 iaitu persetujuan pendaftaran sebagai pemain Selangor dan turut didaftarkan beraksi untuk saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016.

"Mohd Azrif adalah pemain yang dilatih daripada program pembangunan bola sepak Selangor dan permohonan ini hadir pada saat-saat akhir yang menyulitkan pasukan untuk mencari pengganti.

"Oleh itu, ia adalah permohonan yang sukar untuk dipersetujui kerana pasti menjejaskan persiapan pasukan secara keseluruhannya," kata Amirudin.

Mohd Azrif adalah antara tonggak kejayaan Selangor yang menamatkan kemarau 10 tahun untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33, selain membantu skuad Gergasi Merah menamatkan saingan Liga Super 2015 di tempat kedua di belakang Johor Darul Ta'zim.

Artikel Lain