suria

Rita Sosilawati Enggan Gelojoh, Mungkin Taja Sukan Lain

PETALING JAYA: Anak sulung jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya tidak menolak untuk menaja sukan lain, selain bola sepak selagi terdapat kerjasama yang membawa kepada situasi menang-menang.

Pengarah Urusan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari berkata, beliau sememangnya berhasrat untuk menjalinkan kerjasama bersama pasukan bola sepak tetapi perkara itu perlu dinilai terlebih dahulu.

"Ya, saya mempunyai hasrat untuk turut bekerjasama dalam pembangunan bola sepak tetapi sepertimana yang sedia maklum saya perlu terlebih dahulu menilai dan meneliti serta meminta pandangan dan nasihat daripada mereka yang pakar.

"Begitu juga dengan sukan-sukan lain dan apa salahnya juga jika ada rundingan atau kerjasama yang 'win-win situation'. Saya sedia membuka pintu rundingan dalam pembangunan sukan-sukan tersebut," katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Ditanya mengenai sebarang keputusan yang dibuat setakat ini, Erni Dekritawati atau lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih diteliti dalam usaha untuk menjalinkan kerjasama berterusan dengan mana-mana pihak.

"Saya mahu kerjasama ini bukan dalam masa singkat malah berterusan dalam membantu perkembangan sukan tersebut tetapi tidak dinafikan selain itu perlu ada 'win-win situation' antara kedua-dua pihak supaya dapat memberikan hasil yang memuaskan," katanya.

"Mungkin saya perlu minta satu temujanji daripada Menteri Belia dan Sukan, YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri, Datuk M. Saravanan untuk mendapatkan pandangan dan nasihat dalam konteks untuk bekerjasama dalam pembangunan belia dan sukan negara termasuk soal tajaan," katanya secara berseloroh.

Mengenai penajaan membabitkan syarikat dan usahawan bersama pasukan bola sepak yang semakin hebat diperkatakan ketika ini, Rita menyifatkan ia sebagai satu perkembangan dan usaha yang positif serta kesedaran golongan penaja untuk turut sama-sama dalam membantu membangunkan sukan negara.

Ini kerana katanya, sukan merupakan medium yang boleh menyatukan semua peringkat, kaum dan agama.

Rita sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk bekerjasama dengan salah satu daripada empat pasukan sama ada Selangor, Kedah, Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ahad lalu, Rita mendedahkan terdapat dua pasukan bola sepak daripada Liga Super telah menghubunginya bagi mendapatkan penajaan untuk musim ini.

Bagaimanapun katanya, belum ada rundingan dilakukan bersama dua pasukan yang tidak didedahkan identitinya.

Artikel Lain