suria

Tidak Ada Isu Warna Utama Jersi PQPTRW - Annuar

Barisan jersi Kelantan sepanjang Liga Malaysia pada 2015 dan ia bakal berubah musim ini dengan penajaan Vida Beauty Sdn Bhd.

KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menegaskan tidak ada isu berkaitan warna utama jersi yang akan digunakan oleh skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata Kafa telah mendapat keizinan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendaftarkan jersi tuan rumah bagi pasukan itu pada musim ini adalah warna merah dan merah jambu manakala warna jersi di tempat lawan ialah putih dan merah jambu.

"Tidak ada isu berkaitan warna jersi pertama, kedua dan ketiga, ramai orang tidak faham berkaitan peraturan ini. Contohnya kita daftarkan warna merah dan merah jambu sebagai jersi tuan rumah supaya pasukan yang bertandang sudah tahu jersi tuan rumah warna apa," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan bolasepak persahabatan antara Kelantan dan Yala FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Selasa malam.

Annuar menjelaskan terdapat beberapa perkara yang tidak boleh diubah sewenang-wenangnya dalam peraturan bolasepak supaya tidak berlaku kekeliruan misalnya logo dan nama tetap pasukan adalah Kelantan.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung Penasihat Kehormat Kafa dan penaja utama pasukan tersebut, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau dikenali Dr Vida yang mahu memastikan warna merah jambu dan putih menjadi warna jersi utama pasukan itu.

Isu itu timbul selepas Kafa mengumumkan warna jersi utama pasukan berkenaan ialah warna merah dan warna tempat lawan ialah putih.

Mengenai pemintaan Dr Vida yang juga Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, supaya beliau dilantik sebagai pengurus eksekutif skuad PQPTRW musim ini, Annuar berkata pihak Kafa akan menjelaskan kepada Dr Vida berkaitan peraturan pengurusan dalam bola sepak sama ada peraturan Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), FAM dan sebagainya. 

"Sekiranya mahu menjadi pengurus perlu mempunyai kelayakan dan kriteria tertentu, mahu menjadi pengurus tidak boleh datang semasa perlawanan sahaja dan perlu datang pada masa latihan juga.

"Perkara sebegini kita perlu terangkan, saya percaya Dr Vida faham tidak menjadi masalah, kadang-kadang orang awam tidak perasan kita mempunyai banyak peraturan dalam bolasepak, oleh itu kita sentiasa berunding dan apabila tiba masanya kita umumkan," katanya.

Annuar juga berkata kerja membaik pulih Stadium Sultan Muhammad IV akan dilakukan mulai hari ini dengan tumpuan kepada kerja pembersihan dan mengecat dengan warna merah jambu di bahagian dalam stadium sebelum kerja di luar stadium dilakukan.

Beliau berkata kerja itu perlu disiapkan sebelum 13 Mac ini iaitu sebelum Liga Malaysia bermula.-- Bernama


Annuar Musa, jersi, PQPTRW, Liga Malaysia

Artikel Sebelum

TRW Sarung Jersi Jenama DSV

Artikel Berikut

Artikel Lain