suria

KOM Tunggu Laporan Lengkap Persatuan Olahraga Brunei

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih menunggu laporan Persatuan Olahraga Brunei (BAA) mengenai keputusan acara 100 meter Sukan Sekolah ASEAN (ASG) sebelum menentukan kesahihan rekod kebangsaan Badrul Hisham Abdul Manap.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata keputusan hanya akan dibuat selepas meneliti laporan BAA yang dijangka bermesyuarat minggu ini. 

"BAA akan bermesyuarat dengan Jawatankuasa Penganjur ASG minggu ini dan hanya selepas itu kita boleh dapatkan laporan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Media elektronik tempatan mendakwa rekod kebangsaan Badrul Hisham dianggap tidak sah berikutan kegagalan penganjur di Brunei mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Antara yang tidak dipatuhi adalah alat pengukur angin yang tidak berada digarisan 50m selain ketiadaan bukti 'photo finish' - dua aspek yang wajib ada untuk mendapat pengiktirafan IAAF.

Badrul Hisham mencipta sejarah apabila memecah rekod kebangsaan 100m dikejohanan itu menerusi catatan 10.29 saat, sekali gus memadam rekod 10.30s yang dipegang Watson Nyambek selama 17 tahun.

Sementara itu, Karim berkata pegawai teknikal sukan Kementerian Pelajaran yang berada di temasya sukan tersebut sepatutnya menyediakan laporan penuh pencapaian atlet negara sebaik sahaja kejohanan itu berakhir.

Menurutnya apabila atlet memecah rekod kebangsaan, pegawai berkenaan perlu memaklumkan butiran lengkap pencapaian mereka untuk membolehkan  Majlis KOM mengesahkan rekod yang dilakukan itu.

Antara maklumat penting yang diperlukan adalah program pertandingan, alat merekod masa elektronik, gambar bukti yang menunjukkan catatan masa adalah tepat, keputusan ujian doping dan 'photo finish' mengikut spesifikasi yang ditetapkan IAAF.

"Selepas mendapat laporan lengkap, perkara ini perlu dibawa kepada Majlis KOM untuk memutuskan kesahihan rekod Badrul. 

"Saya tidak salahkan Badrul dan jurulatih tetapi pegawai kementerian yang terlibat seharusnya mengetahui tentang perkara ini terlebih dahulu" kata Karim. -Bernama

KOM, Badrul Hisham Abdul Manap

Artikel Lain