suria

Sukan SEA 2017: Pesaka Akan Rayu MOM Tambah Acara Silat

Pesilat negara, Nashrul Edzam Mohd Asri memenangi pingat emas mengumpul markah 459 mata pada Kejohanan Silat Remaja Dunia di Stadium Tertutup Titiwangsa pada Selasa. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam tempoh terdekat untuk menambah empat acara silat pada Sukan SEA 2017 yang bakal dihoskan Malaysia.

Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin menjelaskan MOM sudah bersetuju dengan penyenaraian 17 acara silat pada Sukan SEA 2017 sebelum ini, dan beliau yakin penambahan empat acara berkenaan mampu mencerahkan peluang Malaysia muncul juara temasya sukan dwitahunan itu.

Empat acara silat berkenaan adalah masing-masing dua acara silat seni dan silat tanding melibatkan kategori Putera Kelas I (85-90kg) dan J (90-95kg).

"Saya berharap agar MOM dan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017 dapat mempertimbangkan rayuan kita kerana penyertaan empat acara ini secara tidak langsung akan membantu pungutan pingat kepada kontinjen negara nanti," katanya ketika ditemui pemberita Selasa malam.

MOM dilaporkan sudah bersetuju dengan permohonan Pesaka untuk menyenaraikan 13 jenis silat olahraga dan empat silat seni pada mesyuarat yang diadakan di Wisma MOM, minggu lepas.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berpuas hati dengan prestasi cemerlang barisan pesilat muda negara yang meraih lima emas pada kejohanan berkenaan setakat ini, sekali gus menghampiri sasaran sembilan emas yang disasarkan badan induk itu.

Prestasi cemerlang itu, tegasnya membuktikan bahawa latihan dan pertandingan yang disertai barisan pesilat muda negara di Thailand dan Indonesia selama dua bulan sebelum ini ternyata berbaloi.

Lima pingat emas yang dimenangi Malaysia setakat ini adalah dalam kategori Ganda Putera dan Puteri, silat seni tunggal lelaki dan wanita serta berpasukan lelaki.

Megat Zulkarnain pada masa yang sama turut memaklumkan Pesaka sedang mempertimbangkan imbuhan sesuai untuk pesilat muda negara yang meraih kejayaan cemerlang pada kejohanan berkenaan namun tidak menyatakan bentuk ganjaran yang bakal diberikan.

"Itu (ganjaran), kita akan fikirkan kemudian. Pesaka tidak pernah lupa segala kejayaan yang diraih pesilat kita.

"Kita hendak pesilat bertanding bukan kerana (mengejar) insentif tetapi ingin mengangkat martabat silat itu sendiri," tegas Megat Zulkarnain.-Bernama

Pesaka, Sukan Sea 2017

Artikel Sebelum

Artikel Lain