suria

JDT Intai Peluang Beraksi Di ACL 2016

PETALING JAYA: Penyandang juara Piala Konfederasi BolaSepak Asia (AFC), Johor Darul Ta'zim (JDT) mahu mencipta kejutan apabila beraksidi pusingan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) 2016 pada Februari tahun depan.

Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berharap persediaan pramusim yang sedang dilalui skuad Harimau Selatan dapat membantu mereka mencipta keputusan positif berdepan bekas juara tiga kali Liga Perdana Thailand, Muangthong United FC pada aksi kelayakan ACL di tempat lawan, 2 Februari nanti.

"Walaupun peluang melangkah ke undian utama ACL 2016 agak mustahil, saya yakin pemain dapat menampilkan satu permainan terpuji terutamanya menentang wakil Thailand itu," kata Ismail ketika ditemui selepas majlis undian Piala AFC dan ACL 2016 di sini, Khamis.

Pemenang perlawanan antara JDT dan Muangthong United FC akan berdepan wakil China, Shanghai SIPG di tempat lawan pada aksi terakhir pusingan kelayakan itu pada 9 Februari bagi menentukan pasukan yang layak ke undian utama kejohanan kelab berprestij benua Asia itu.

Sebanyak 21 kelab dari benua Asia termasuk JDT akan bersaing dalam aksi kelayakan ACL 2016 bagi menentukan slot ke undian utama kejohanan.

Mengikut peraturan pertandingan, pasukan yang layak bermain di undian utama ACL menerusi pusingan kelayakan secara automatik tidak boleh beraksi di Piala AFC, sekali gus tempat JDT akan diambil Pahang jika skuad Harimau Selatan mara ke undian utama ACL.

Sementara itu, Ismail berkata gelaran penyandang juara adalah cabaran yang perlu dihadapi skuad Harimau Selatan untuk saingan Piala AFC musim depan kerana lawan pasti mendapat semangat tambahan menundukkan juara bertahan.

Bagi saingan musim depan, JDT diundi dalam Kumpulan H bersama JSW Bengaluru FC (India), Lao Toyota FC (Laos) dan Ayeyawady United (Myanmar).

Ismail berkata kecuali Ayeyawady United dan JSW Bengaluru yang pernah menjadi lawan mereka dalam saingan Piala AFC musim ini, beliau tidak mempunyai banyak maklumat mengenai kekuatan wakil Laos itu.

"Walaupun kita tidak pernah bertemu Lao Toyota, saya tetap berharap kita dapat menyaingi corak permainan lawan itu nanti," katanya.

Bagi Ismail yang turut menjadi pengurus pasukan JDT bagi kempen Piala AFC musim depan, apa yang penting adalah pemain skuad Harimau Selatan tidak memandang rendah kekuatan ketiga-tiga lawan itu.

Keputusan Penuh Undian:

Piala AFC 

Kumpulan A: Al Wehdat atau Al Jazira (kedua-duanya dari Jordan), Al Ahed FC (Libya),Altyn Asyr (Turkmenistan), pemenang perlawanan kalah mati antara Al Hidd(Bahrain) dan K-Electric (Pakistan).

Kumpulan B: Nafit Al Wasat (Iraq), Al Faisaly(Jordan), FC Istiklol (Turkmenistan), pemenang perlawanan kalah mati antara Tripoli Club (Libya) v FC Ala(Kyrgyzstan).

Kumpulan C: Al Orouba (Oman), Air Force Club (Iraq), Al Dharia (Palestin), pemenang perlawanan kalah mati antara Al Wahda (Syria) dan naib juara Liga Turkmenistan 2015.

Kumpulan D: Al Muharraq (Bahrain), Fanja (Oman), Al Jaish (Syria), pemenang perlawanan kalah mati antara Ahli Al Khalil (Palestin) dan FC Khujand (Tajikistan).

Kumpulan E: Tampines Rovers atau Warriors FC (kedua-duanya dari Singapura), Selangor (Malaysia), Ceres La Salle FC (Filipina), Lt. Sheikh Jamal Dhanmondi Club Ltd. (Bangladesh).

Kumpulan F:  Kitchee (Hong Kong), Balestier Khalsa (Singapura), New Radiant SC (Maldives), Kaya FC (Filipina). Kumpulan G:  Mohun Bagan AC (India), South China (Hong Kong), Yangon United atau Yadanarbon FC (kedua-duanya dari Myanmar), Maziya Sport & Recreation Club(Maldives).

Kumpulan H:  JDT atau Pahang (kedua-duanya dari Malaysia), JSW Bengaluru FC (India), LaoToyota FC (Laos), Ayeyawady United (Myanmar).

Piala ACL

Kumpulan A: Foolad Mobarakeh Sepahan (Iran), Al Nasr (Emiriah Arab Bersatu), Lokomotiv (Uzbekistan), Al Ittihad (Arab Saudi) atau Al Wehdat (Jordan).

Kumpulan B: Al Nassr (Arab Saudi), Zobahan (Iran), Lekhwiya (Qatar), Bunyodkor (Uzbekistan) atau Al Shabab (Emiriah Arab Bersatu).

Kumpulan C: Pakhtakor (Uzbekistan), Al Hilal (Arab Saudi), Tractorsazi Tabriz (Iran), AlJazira (Emiriah Arab Bersatu) atau Al Sadd (Qatar).

Kumpulan D: Al Ain (Emiriah Arab Bersatu), Nasaf (Uzbekistan), Al Ahli (Arab Saudi),Naft Tehran (Iran) atau El Jaish (Qatar).

Kumpulan E: Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan), Jiangsu Sainty (China), Becamex BinhDuong (Vietnam), pemenang perlawanan kalah mati 2.

Kumpulan F: Sanfrecce Hiroshima (Jepun), FC Seoul (Korea Selatan), Buriram United (Thailand), pemenang perlawanan kalah mati 3.

Kumpulan G: Melbourne Victory (Australia), kelab kedua Liga Jepun 2015, Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan), pemenang perlawanan kalah mati 4.

Kumpulan H: Guangzhou Evergrande (China), Sydney FC (Australia), tempat ketiga Liga Jepun 2015, pemenang perlawanan kalah mati zon timur 1. -Bernama

JDT, ACL, Piala Asia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain