suria

MSN Tiada Kuasa Dedah Nama Atlet Terlibat Doping

Ahmad Shapawi Ismail

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai kuasa mendedahkan nama atlet bina badan yang didakwa gagal dalam ujian doping yang dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lepas.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya juga masihmenunggu pengesahan Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) yang dijangka mengadakan mesyuarat Exco dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

"Bukan tugas MSN dan kami juga tiada kuasa atau mandat mendedahkan nama atlet yang terbabit dalam isu doping. Kita tunggu maklumat daripada PBBM, buat masa ini kita biarkan mereka jalankan prosedur mengikut protokol.

"Saya tidak akan beri apa-apa komen sehingga mendapat pengesahan rasmi daripada PBBM sendiri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Kontinjen Para ASEAN ke Singapura, di Kompleks Sukan Kampung Pandan di sini pada Khamis.

Atlet bina badan itu dikatakan gagal dalam ujian doping oleh ADAMAS pada 1 Sept lepas sebelum kontinjen negara berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Bina Badan Asia ke-49 bermula 29 Sept hingga 5 Okt.

Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir dalam kenyataan media sebelum ini berkata mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib PBBM yang bersidang pada 21 Okt lepas, mencapai kata putus bentuk hukuman yang bakal dikenakan keatas atlet berkenaan.

Beliau bagaimanapun memaklumkan keputusan itu perlu dibentang terlebih dahulu kepada Exco PBBM sebelum hukuman yang diputuskan itu dapat diambil ke atas atlet berkenaan, yang identitinya masih dirahsiakan.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain