suria

Penjaga Gol Kedah Tidak Pernah Berangan Beraksi Di Final

Firdaus bersama rakan sepasukan meraikan kemenangan layak ke final Piala Malaysia.

"SAYA bersyukur kerana berjaya menjadi penjaga gol utama setelah sejak awal musim ini hanya sekadar menjadi penjaga gol simpanan pasukan Kedah apabila Abdul Hadi (Abdul Hadi Hamid) menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe."

Demikian reaksi penjaga gol Kedah, Firdaus Mohamed yang bakal menggalas tugasan penting sebagai pengawal kubu skuad Helang Merah pada final Piala Malaysia menentang Selangor Sabtu ini.

Menurutnya, pembedahan lutut yang dihadapi Hadi membuka peluang kepadanya untuk tampil sebagai penjaga gol utama Kedah dan bakal berdepan final Piala Malaysia buat kali pertama dalam kariernya.

Berikutan itu Firdaus bertekad untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan dia tidak mengecewakan kepercayaan barisan jurulatih dan penyokong.

"Saya tidak menjangka akan dipilih untuk mengawal gawang Kedah pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu ini kerana sepanjang saingan Liga Premier, saya hanya memanaskan bagngku simpanan dan tidak langsung bermimpi untuk memikul tugas penjaga gol utama.

"Saya memang sedikit gelabah ketika mengambil alih tugas daripada Hadi yang sudah lama menjadi penjaga utama negeri ini. Selepas meninggalkan skuad Harimau Muda A saya hanya bersama Kedah, itupun sebagai pemain pinjaman dari Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

"Kini setelah beraksi beberapa perlawanan pada peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir keyakinan saya sudah bertambah dan berjanji akan sedaya upaya cuba menghampakan penyerang Selangor pada perlawanan akhir nanti," jelasnya.

Katanya, pengalamannya bersama skuad Sukan Sea sebagai penjaga gol simpanan telah memberi banyak pengetahuan dan pengalaman baru bagi meningkatkan lagi ilmu penjaga gol.

"Kini saya berpeluang membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia musim ini. Dengan bantuan barisan pemain muda serta yang berpengalaman dengan ditambah empat pemain import, saya yakin kita mampu mengecewakan Selangor bagi mengulangi kejayaan Kedah tahun 2008 bertemu dengan lawan sama.

"Inilah peluang terbaik kami untuk menjuarai Piala Malaysia setelah berjaya melakukannya kali terakhir pada tahun 2008. Kami sedar bertapa hebatnya lawan kami yang berjaya menjuarai pertandingan ini sebanyak 32 lagi sebelum ini, kami menghormati kemampuan mereka tetapi tidak takut untuk berdepan dengan mereka.

"Walaupun kami pasukan dari Liga Perdana tetapi kami telah membuktikan kemampuan sebenar dengan mengatasi beberapa pasukan dari Liga Super dan kejayaan kami mengatasi Felda perlawanan separuh akhir pasti menambah keyakinan diri untuk berdepan satu lagi lawan dari liga sama," katanya.

Kedah, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Liga Juara-Juara Eropah

Artikel Lain