suria

United Kuasai Permainan, Lupa Jaringkan Gol - Van Gaal

MANCHESTER United terus kempunan gol apabila sekali lagi mencatat seri 0-0 ke atas West Ham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Sabtu malam.

Situasi itu pastinya  tidak menyenangkan penyokong-penyokong United yang menyaksikan skuad bimbingan Louis van Gaal telah merekodkan keputusan empat kali seri tanpa jaringan daripada enam perlawanan terakhir di Old Trafford.

Malah kedengaran penyokong-penyokong menjerit ‘serang,serang,serang’ ketika aksi sedang berlangsung.

Dalam perlawanan itu, West Ham mempamerkan permainan bukan sekadar bertahan. Mereka datang untuk menang dengan membuat dua kali percubaan berbahaya ke arah gawang United.

Bagaimanapun, pemain-pemain United telah membuat percubaan sebanyak 21 kali ke arah gol lawan, namun hanya satu yang dilihat nyaris meraih gol.

Van Gaal berkata, pemain-pemainnya ‘terlupa untuk menjaringan gol’.

"Kamu boleh berlatih menjaringkan gol setiap hari dan kamu perlu tahu kami berbuat demikian.

“Kami meletakkan pemain di posisi yang boleh menjaringkan gol, tetapi perlu mengawalnya dan kami perlukan tuah untuk meraih gol.

“Apa yang penting kami mendominasi permainan, menyerang dan mencipta peluang gol...hanya kami lupa untuk menjaringkan gol,” jelas Van Gaal.

United sepatutnya menggunakan peluang untuk mara kedudukan teratas liga apabila jirannya, Manchester City tewas 2-0 kepada Stoke City pada aksi sebelumnya

Namun dengan keputusan tersebut, mereka terpaksa akur di tangga keempat liga dengan 29 mata.

Van Gaal juga faham bahawa dengan keputusan itu ia telah memberikan kekecewaan kepada penyokong-penyokong United.

“Mereka sendiri melihat kami berjuang hingga tamat perlawanan.

“Ia sentiasa sukar tetapi kami mencipta banyak peluang gol. Ya, kami perlu menggunakan peluang itu, dan kami tidak berbuat demikian,” jelasnya.

Selain itu, kapten pasukan, Wayne Rooney terpaksa melihat aksi rakan sepasukan dari kerusi penonton kerana kecederaan buku lali yang memaksa Van Gaal memasukkan Maraoune Fellaini untuk tampil buat kali pertama aksi liga selepas kemenangan 3-1 ke atas Liverpool lebih kurang tiga bulan lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain