suria

Kedah Mahu Gol, Felda Harap Magis Berulang

KUALA LUMPUR: Walaupun berjaya memperoleh dua gol penting di tempat lawan, juara Liga Perdana, Kedah akan tetap memburu jaringan tambahan apabila berhadapan Felda United pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman Ahad ini.

Jurulatih sementara, Ramon Marcote Pequeno mengakui pasukannya harus menggandakan usaha dan tidak bergantung keputusan seri 2-2 dalam perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi bagi membolehkan mereka melangkah ke perlawanan akhir pada 12 Dis di Stadium Shah Alam.

"Penting bagi kami untuk menambah jaringan di Darul Aman dan mengelak Felda (United) daripada memperoleh gol di tempat lawan," kata jurulatih yang berasal dari Sepanyol itu kepada pemberita selepas perlawanan.

Kedah atau lebih dikenali Helang Merah dua kali ketinggalan sebelum berkongsi mata dalam perlawanan itu.

Pemain terbaik perlawanan, Thiago Augusto Fernandes dari Brazil berjaya menjaringkan dua gol bagi skuad 'The Fighters' pada minit ke-13 dan ke-54 sebelum Sandro Da Silva dan Chidi Edeh, masing-masing menjaringkan gol bagi Kedah, pada minit ke-37 dan ke-62.

Dalam pada itu, pengendali Felda United, Irfan Bakti mengharapkan 'Magis Larkin' akan kembali berulang apabila mereka berkunjung ke Alor Setar bagi aksi timbal balik nanti.

Beliau mengakui walaupun ia bukan satu tugas mudah beraksi di tempat lawan namun yakin kehadiran semula perancang tengah berbisa, Indra Putra Mahayuddin yang digantung satu perlawanan sebelum ini, sedikit sebanyak akan membantu skuad 'The Fighters' meraih keputusan positif.

Felda United sebelum ini melakar kejutan selepas mengejutkan juara Liga Super, Johor Darul Takzim 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada suku akhir kedua, 28 Ogos lepas untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi kemenangan agregat 3-2.

"Sembilan puluh minit di Stadium Darul Aman nanti akan menentukan  segala-galanya dan kami akan menyerang (habis-habisan) untuk mendapatkan gol di tempat lawan," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Thiago menyasarkan bermain dengan lebih baik apabila kedua-dua pasukan bertemu semula Ahad ini.

"Saya percaya kepada diri saya serta pasukan, dan berharap kami dapat melakukan sesuatu Ahad ini. Selepas seri 2-2 dalam perlawanan ini, saya lihat kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama, mara ke peringkat akhir," kata pemain penyerang berusia 25 tahun itu.

Kedah, Felda

Artikel Sebelum

Artikel Lain