suria

Malaysia Tambah Tiga Pingat Emas Hari Terakhir ASG 2015

Acara olahraga menjadi 'lubuk emas' untuk kontinjen Malaysia apabila meraih sembilan daripada 30 pingat emas keseluruhan.

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara menambah tiga pingat emas pada hari terakhir Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN 2015 yang melabuhkan tirai secara rasmi di Brunei, pada Khamis.

Dua pingat emas menerusi juara remaja dunia, Goh Jin Wei dalam kategori perseorangan wanita serta beregu lelaki, Ooi Zi Heng/Soh Wooi Yik dalam acara badminton yang berlangsung di Kompleks Sukan Menglait, manakala pasukan bola jaring Malaysia mengalahkan Singapura 71-30 pada aksi final di StadiumTertutup HBNS. 

Jin Wei, 15, meraih pingat emas selepas mengalahkan Gabriela Meilani Moningka dari Indonesia 21-11, 21-8, manakala Ooi/Soh menewaskan satu lagi wakil Indonesia, M Fachricar/M Reza Fahlevi Ihsafani 21-18, 21-12.

Pungutan tiga pingat emas itu menyaksikan Malaysia muncul naib juara edisikelapan temasya berkenaan yang bermula secara rasmi Isnin lepas, dengan kutipan 20 pingat emas, 14 perak dan 22 gangsa, demikian menurut laman sesawang rasmi ASG 2015; www.asg7.moe.gov.bn.

Indonesia mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan buat pertama kali sejak 2009, selepas mengumpul 25 pingat emas, 24 perak dan 10 gangsa manakala Thailand di tempat ketiga dengan 13 emas, 31 perak dan 26 gangsa.

Acara olahraga menjadi 'lubuk emas' untuk kontinjen Malaysia apabila meraih sembilan daripada 30 pingat emas keseluruhan.

Selain itu, acara berkenaan turut menyaksikan pelari pecut muda negara,Badrul Hisyam Abdul Manap muncul atlet paling cemerlang dengan menyumbangkan tiga pingat emas, di samping memecahkan dua rekod kejohanan.

Kontinjen Malaysia yang diketuai Zainuren Mohd Nor dijangka tiba di tanahair, Ahad ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain