suria

Terbuka Macau: Soon Huat Mara Ke Aksi Suku Akhir

KUALA LUMPUR:  Pemain perseorangan lelaki negara Goh SoonHuat yang sebelum ini beraksi hambar, sekali lagi membuktikan peningkatan prestasi cemerlang apabila berjaya mara ke saingan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau, Khamis.

Dalam saingan sengit pada pusingan ketiga, Goh hanya mengambil masa 47 minit untuk menundukkan Wang Tzu Wei dari Taiwan dengan mata 22-20 dan 22-20 di Tap Seac Multisport Pavilion, Macau.

Pada pusingan pertama kejohanan ini, Goh mengejutkan pilihan ke-12 dari Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk dengan 21-19 dan 21-19, dan menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, 21-18 dan 21-15 pada pusingan kedua.

Pemain berusia 25 tahun itu dijadualkan bertemu pilihan ke-15 kejohanan, B.Sai Praneeth dari India yang menjinakkan Andre Kurniawan Tedjono dari Indonesia, 21-15 dan 21-6 untuk mara ke suku akhir,Jumaat.

Bagi acara perseorangan wanita pula, perjuangan Yang Li Lian tersekat di pusingan kedua sahaja apabila tewas kepada pemain China, He Bing Jiao 19-21 dan 15-21.

Beregu lelaki, Low Juan Shen/Tan Meng Kian yang mencipta kejutan pada pusingan pertama dengan menewaskan pasangan pilihan utama kejohanan dari China, Liu Xiaolong/Qiu Zihan bernasib tidak baik apabila disingkirkan beregu Indonesia Hendra Aprida Gunawan/Markis Kido 24-22, 18-21 dan 21-17 pada pusingan kedua.

Nasib sama terjadi kepada beregu Hoon Thien How/Lim Khim Wah Lim apabila mereka dibelasah pasangan dari Rusia, Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov yang juga beregu pilihan keempat kejohanan, 21-23, 21-19 dan 6-21.

Chooi Kah Ming/Ow Yao Han pula tewas kepada pasangan pilihan kelima kejohanan dari China, Li Junhui/Liu Yuchen 12-21, 21-17 dan 12-21 manakala satu lagi pasangan beregu lelaki, Ong Yew Sin/Teo Ee Yin kalah kepada Alan Chan YunLung/Reginald Lee Chun Hei dari Hong Kong 19-21 dan 18-21.  

Beregu wanita, Chow Mei Kuan/Lai Pei Jing ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan pilihan keenam kejohanan dari Korea Selatan Eun Jung Kyung/Chan Shin Seung apabila tewas 14-21 dan 21-5.

Mei Kuan yang bergandingan dengan Tan Chee Tean dalam acara beregu campuran juga tidak dapat meneruskan perjuangan ke saingan suku akhir apabila kalah 19-21, 21-17 dan 14-21 kepada pasangan Taiwan Lee Jhe-Huei/Rong Wang Pei.

Goh Soon Huat, Terbuka Macau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain