suria

Khairy Minta FAM Pertimbangkan Semula Cadangan Pemain B-23

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta mempertimbangkan semula cadangan mensyaratkan pasukan negeri atau kelab menurunkan dua pemain Bawah 23 Tahun (B-23) dalam setiap perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata cadangan yang pernah dikemukakan itu, boleh dihidupkan semula bagi memberi peluang kepada pemain muda menggilap bakat dan menimba pengalaman berikutan program Harimau Muda telah dibubarkan.

"Saya harap beri banyak tumpuan kepada pemain muda terutama mereka berusia antara 19 dan 23 tahun yang sudah keluar daripada sekolah sukan dan masuk ke dalam sistem FAM.

Inilah pemain-pemain yang perlu dapat pengalaman bermain.

"Jika tidak dapat bermain, mereka tidak dapat menonjolkan diri sebagai pemain. Saya harap segala pertandingan yang dapat bagi peluang kepada pemain muda diperbanyakkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN di Singapura, di Kompleks Sukan Kampung Pandan di sini pada Khamis.

Khairy pernah mencadangkan agar setiap pasukan negeri atau kelab yang bersaing dalam Liga-M mewajibkan dua pemain B-23 bermain pada bila-bila masa dalam satu perlawanan.

Mesyuarat Exco FAM pada Selasa, membuat keputusan membubarkan program Harimau Muda, dan semua pemain Harimau Muda B dan Harimau Muda C, perlu kembali ke negeri masing-masing. Berikutan pembubaran program itu, FAM akan memberi fokus kepada Projek Sukan SEA 2017 yang akan diwakili pemain B-23.

Dalam pada itu, Khairy berkata keputusan FAM membubarkan program Harimau Muda dan memberi fokus kepada Projek 2017 adalah tepat pada masanya.

Justeru, katanya kerjasama daripada pasukan negeri dan kelab adalah diperlukan bagi memberi peluang lebih besar kepada barisan pemain muda menimba pengalaman dengan beraksi dalam Liga-M.

Harimau Muda, Khairy Jamaluddin, FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain