suria

'Atlet Luar Biasa' Mampu Lebih Cemerlang Di Singapura - Khairy

Khairy Jamaluddin (kanan) bergambar bersama Tun Jeanne Abdullah (depan),Dr Ang Kean Koo (kiri), Penolong Ketua Kontinjen Negara, Jason Lo (dua,kanan) dan Mohamad Ridzuan Puzi (tengah) serta para atlet paralimpik Malaysia ketika penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Paralimpik Negara ke Sukan Para Asean Singapura 2015 di Kompleks Sukan Paralimpik, Kampung Pandan pada Khamis. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin kontinjen negara mampu mencatatkan prestasi yang lebih cemerlang daripada sebelumnya pada temasya Sukan Para ASEAN di Singapura pada 3 hingga 9 Disember ini.

Beliau berkata walaupun masih belum menerima senarai muktamad acara dipertandingkan serta beberapa acara digugurkan, beliau percaya kesemua atlet paralimpik telah membuat persediaan masing-masing bagi menghadapi saingan di pentas pertandingan.

"Saya difahamkan ada acara-acara yang dikurangkan daripada temasya di Myanmar pada 2013 dan itu menyebabkan lapan acara yang kita pernah menang pingat emas dikeluarkan daripada jadual.

"Kita masih menunggu senarai yang muktamad. Selepas dapat senarai yang muktamad barulah kita boleh tengok acara-acara yang telah disenarai. Kalau acara itu ada (acara yang pernah meraih emas), saya sasarkan kita kena dapatkan lebih daripada di Myanmar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN di Kompleks Sukan Kampung Pandan pada Khamis.

Pada majlis itu, Khairy menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen negara Dr Ang Kean Koo, naib presiden Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda yang kemudiannya menyerahkan kepada pembawa bendera, Ridzuan Puzi, pemenang pingat emas acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Dunia IPC Doha, Qatar pada Oktober lepas.

Turut hadir, penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Terdahulu, dalam ucapannya, Khairy memberi jaminan yang kejayaan atlet paralimpik yang disifatkannya sebagai 'atlet luar biasa' itu mendapat pengiktirafan yang sama dengan kejayaan yang dicapai oleh atlet normal.

Katanya, rakyat Malaysia sepatutnya sama-sama merasai dan mengetahui segala pengorbanan, segala usaha dan rintangan yang dihadapi oleh seorang atlet paralimpik untuk mereka mencapai kedudukan yang ada sekarang.

"Jangan pandang rendah kepada atlet paralimpik kita. Atlet-atlet paralimpik kita bukan hanya membuat pencapaian di peringkat rantau Asia Tenggara, tapi kita sudah pun ada atlet paralimpik yang telah mencapai tahap dunia," katanya.

Sementara itu, Khairy turut mencabar atlet paralimpik pada temasya Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur pada 2017 untuk muncul juara keseluruhan.

"Saya cabar kontinjen negara gunakan sukan Para Asean 2015 di Singapura ini sebagai landasan persiapan ke temasya 2017 di mana kita akan muncul juara keseluruhan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, ketua kontinjen negara, Dr Ang berkata tindakan tuan rumah menggugurkan beberapa acara dan tidak memuktamadkan beberapa senarai acara, sedikit merencatkan kontinjen negara dalam pungutan pingat kali ini.

"Sesetengah acara digugurkan dan ia memberi kesan kepada kutipan pingat emas kita. Tetapi kami yakin meletakkan sasaran tiga terbaik. Kami juga berusaha mengutip lebih banyak pingat emas berbanding sebelum ini, mungkin lebih 50,"katanya.

Kontinjen negara seramai 324 atlet dan pegawai akan berlepas ke Singapurapada 29 November ini melalui pengangkutan darat.

Seramai 202 atlet terdiri daripada 163 lelaki dan 39 wanita akan berentap dalam 15 jenis sukan seperti badminton, Boccia, memanah, olahraga, pelayaran,ping pong, powerlifting, renang, bola keranjang berkerusi roda, bola sepak lima dan tujuh sebelah, bola gol, tenpin boling, menembak dan catur.

Pada edisi 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar, kontinjen negara menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan 50 emas, 49 perak dan 41 gangsa.-Bernama

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain