suria

Kuartet 4x100 Meter Negara Raih Kejayaan Berganda

Kuartet 4x100 meter berganti meraih pingat emas pada Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN, di Brunei pada Rabu. Dari kiri, jurulatih Mohd Poad Md Kassim, Khairul Hafiz Jantan, Mohd Haiqal Hanafi, Badrul Hisham Abdul Manap dan Asnawi Hashim.

KUALA LUMPUR: Kuartet lelaki 4X100 meter negara meraih kejayaan berganda apabila memenangi pingat emas sambil mencipta rekod baharu kejohanan di Sukan Sekolah ASEAN (ASG) di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Rabu.

Catatan masa 39.86 saat yang direkodkan gandingan Mohd Haiqal Hanafi, Badrul Hisyam Abdul Manap, Asnawi Hashim dan Khairul Hafiz Jantan itu adalah 6.7 saat lebih pantas daripada rekod lama 46.56s yang dipegang kuartet Thailand sejak 2009.

Pingat perak dan gangsa menjadi milik Thailand dan Vietnam, masing-masing dengan catatan 40.97s dan 41.15s. Kejayaan tersebut melengkapkan penguasaan atlet lelaki negara dalam acara pecut temasya itu selepas Badrul Hisyam muncul Raja Recut Sekolah ASEAN dengan memenangi acara 100 dan 200m sebelum ini.

Mengikut rekod, catatan masa kuartet remaja negara itu hanya 0.19s dari rekod kebangsaan 39.67s yang dipegang gandingan Jonathan Nyepa, Mohammad Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohammad Sobri dan Nixson Kennedy yang dilakukan pada Sukan SEA Singapura Jun lepas. 

Secara keseluruhan, atlet olahraga menyumbang sembilan pingat emas, tujuh perak dan lapan gangsa untuk kontinjen negara di temasya kali ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain