suria

Program Persediaan Khas Sukan SEA 2017 Untuk Badrul Hisham

Badrul Hisyam (kanan) bersama rakan senegara, Asnawi Hashim.

KUALA LUMPUR:  Pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap yang melakar sejarah memadam rekod 17 tahun acara 100 meter milik Watson Nyambek, akan disediakan program persediaan khas sebelum Sukan SEA 2017.

Badrul Hisyam, yang memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 10.29s,0.01 saat lebih pantas daripada rekod milik Watson, di Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN 2015 di Brunei pada Isnin, hanya ketinggalan 0.04 saat di belakang pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura, Jun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau akan bertemu dan berbincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai perancangannya itu.

"Badrul ada masa lebih kurang setahun setengah untuk mengejar dan menunjukkan peningkatan kepada prestasinya. Saya akan bincang dengan KOM dan MSN mengenai program persediaan khas untuk beliau bagi tingkatkan prestasi.

"Bakat sudah ada dan masa bergerak sangat pantas walaupun beliau masih muda. Kita tidak mahu terlepas peluang ini. Ini permata trek yang muncul setelah sekian lama, kita kena gilap," katanya selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) sidang kedua penggal ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC), di sini Rabu.

Khairy berkata sekiranya KOM dan MSN dapat menggilap bakat Badrul Hisyam dengan sebaiknya, pelari pecut muda itu akan lebih berpotensi untuk menjadi juara, bukan hanya di peringkat kebangsaan malah di rantau ini.

Beliau berkata Badrul Hisyam perlu diberikan perhatian dan atlet itu sendiri perlu memperbaiki lagi catatan masanya untuk bersaing di Sukan SEA dalam acara 100 meter.

"Saya tidak mahu ada bakat bagus, tetapi disebabkan oleh pengurusan bakat yang tidak bagus, maka akhirnya beliau tidak akan sampai ke potensi yang sebenar," kata Khairy.

Artikel Lain