suria

Penganjur Beri Jaminan Jelajah Malaysia 2015 Lancar

KUALA LUMPUR: Biarpun baru pertama kali mengendali perlumbaan jelajah berbasikal tertua negara, Jelajah Malaysia, penganjur memberi jaminan acara itu dapat dilaksanakan dengan baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Peloton Resources Musairi Musa berkata, acara tahunanitu dapat dijalankan juga tahun ini walaupun berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk kekangan masa.

"Kita kekurangan masa, tidak boleh teruskan dengan laluan yang jauh kali ini, sebaliknya hanya dijalankan dalam lima peringkat.

"Untuk tahun ini, setakat ini yang kita mampu lakukan. Apa yang penting adalah saya mahu Jelajah Malaysia edisi ke-51 ini dijalankan dan tidak terputus penganjurannya," kata Musairi kepada pemberita selepas majlis pengenalan penaja utama dan pelancaran laluan Jelajah Malaysia 2015 di sini pada Rabu.

Perlumbaan yang akan berlangsung pada 9 hingga 13 Disember itu hanya melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Bangi, Nilai dan Shah Alam sebelum berakhir di Dataran Merdeka.

Jelajah Malaysia 2015 dengan jarak keseluruhan 502.6 km itu melibatkan acara ujian masa berpasukan (TTT) serta dua zon pendakian di Ampang dan Sungai Tekali.

Menurut Musairi, selain acara TTT turut diperkenalkan pada edisi kali ini ialah kategori bawah 23 tahun dalam usaha mencungkil bakat baru pelumba pelapis berbasikal lebuh raya. 

"Kita juga akan melakukan penjenamaan semula Jelajah Malaysia. Mulai tahun depan, ia akan dikenali sebagai Tour of Malaysia dan pastinya akan ada penambahbaikan pada masa akan datang," katanya.

Musairi yang juga bekas pelumba kebangsaan berkata seramai 120 pelumba daripada 20 pasukan telah mengesahkan penyertaan pada edisi ini, terdiri daripada 13 pasukan benua dan tujuh pasukan tempatan.

Antara pasukan benua yang akan membuat penampilan kali ini termasuk Tabriz Petrchemical Team dan Pishgaman-Giant Team dari Iran, Matrix Powertag dari Jepun dan Pegasus Continental Cycling Team dari Indonesia.

Pasukan tempatan yang akan mengambil bahagian adalah pasukan kebangsaan,Terengganu Cycling Team (TSG), Majlis Sukan Negara (MSN), Terengganu bawah 23, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, pada majlis itu,  Proton Holdings Bhd, Berjaya Corporation Bhd, Mandarin Court Hotel dan Ciclista Sdn Bhd diperkenalkan sebagai penaja utama acara jelajah itu manakala DBKL dan Perbadanan Putrajaya selaku penaja sokongan.

Jelajah Malaysia 2015

Artikel Lain