suria

MotoGP Malaysia: Semua Pihak Sudah Bersedia - Razlan

Program latihan terakhir untuk marsyal diadakan di litar minggu lalu.
KUALA LUMPUR: Penganjur Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia yakin pihaknya sudah bersedia malah telah melengkapkan satu pasukan marsyal trek yang berpengalaman bagi aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.


"Saya bangga untuk mengumumkan bahawa kami telah menyediakan marsyal yang terbaik pada perlumbaan kali ini. Semuanya sangat berpengalaman dan mereka telah bersama kami untuk pelbagai acara bertaraf dunia yang dianjurkan oleh SIC, termasuk Kejuaraan Dunia Motosikal Superbike FIM 2015 Pusingan Malaysia baru-baru ini.

"Pusingan ini dianggap 'kritikal' bagi semua pelumba, jadi amat penting untuk melibatkan dengan marsyal yang terbaik.

“Walaupun mereka sudah lengkap  dengan pengalaman, kita telah menjalankan usaha wajar dalam mengadakan program latihan, termasuk yang dijalankan di litar hujung minggu lalu bagi memantapkan lagi tugasan mereka.

“Saya memberi jaminan kepada semua, bahawa SIC sudah bersedia sepenuhnya bagi menguruskan perlumbaan berprestij ini,” jelas kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Seramai 665 marshal termasuk 350 marshal trek dan 192 kakitangan perubatan dijangka terlibat secara langsung pada edisi ke-25 perlumbaan Grand Prix Shell Malaysia tahun ini, yang bakal menyaksikan pertempuran sengit bagi kategori MotoGP dan Moto3 untuk merebut mahkota kejuaraan dunia.

“Kami akan mengadakan pemeriksaan landasan yang akhir pada Khamis pukul 4 petang bersama Pengarah Perlumbaan, Pegawai Dorna dan wakil-wakil pelumba.

“Ia adalah satu pemeriksaan wajib sebelum sesi latihan rasmi bermula pada Jumaat. Selain itu juga, SIC  telah melaksanakan usaha yang ketat dalam memastikan keselamatan untuk penonton," jelas Razlan.

Dalam pada itu, Razlan tidak menolak saingan hujung minggu ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang sudah pasti akan memberi detik mendebarkan kepada semua peminat MotoGP.

"Perebutan gelaran dunia MotoGP bakal diketahui minggu ini yang menyaksikan persaingan di antara Valentino Rossi dan rakan sepasukan Yamaha, Jorge Lorenzo manakala pertempuran antara Danny Kent Britain dan Miguel Oliveira dari Portugal untuk kejuaraan dunia Moto3.

"Moto2 mungkin telah menjadi milik Johann Zarco sebagai juara baharu, tetapi perlumbaan dijangka tetap menarik peminat sukan permotoran tempatan memandangkan pelumba negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman, serta pelumba wildcard Ramdan Rosli serta aksi pasukan dari Malaysia JPMoto Racing, Ricard Cardus tampil memberi persembahan terbaik.

"Manakala Moto3 sentiasa menjadi daya tarikan yang kuat untuk peminat tempatan dengan penyertaan Zulfahmi Khairuddin, yang menunggang untuk pasukan DRIVE M7 SIC Racing tahun ini.

“Malah tarikan juga dijangka tertumpu kepada saingan pusingan akhir Piala Bakat Asia Shell Advance Asia (SAATC) dengan dibarisi pelumba-pelumba negara yang berbakat dan sangat kompetitif,” jelas Razlan.

SIC menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Kejuaraan MotoGP Dunia 2015 sebelum pusingan terakhir di Valencia di Sepanyol pada 7 November 2015.

"Dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang bakal diaadakan di luar litar, saya menggalakkan peminat-peminat segera mendapatkan tiket kerana setakat ini penjualannya amat cepat.

“Tempat duduk seperti VR46 Tribune, Grandstand F dan Grandstand K1 sudah habis dijual,” tambahnya.

Tiket boleh dibeli di litar atau di kios promosi SIC di Suria KLCC dan Nu Sentral atau secara online di www.sepangcircuit.com atau dengan menghubungi tiket hotline di 03-8778 2222.

SIC, MotoGP, Datuk Razlan Razali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain