suria

Penganjur Piala Sultan Selangor Pantau Keadaan Jerebu

Abdul Karim Munisar (tengah) melawat Stadium Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM: Perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2015 yang dijadualkan di Stadium Shah Alam Sabtu ini akan berlangsung seperti dirancang.

Namun Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana pertandingan, Tan Sri Abdul Karim Munisar akan memantau keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini termasuk mendapat nasihat Jabatan Kesihatan sebelum membuat keputusan.

"Kita akan tunggu sehingga Jumaat ini sebelum mengambil tindakan susulan sekiranya keadaan jerebu pada ketika itu masih tidak berubah," katanya.

Pertandingan Piala Sultan Selangor yang memasuki edisi ke-14 bermula dengan aksi veteran Selangor dan veteran Singapura pada pukul 8 malam diikuti perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura pada 9 malam.

Abdul Karim turut menjelaskan pihaknya sudah mendapat pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bahawa 28 bas yang membawa penyokong negara jiran itu akan hadir menyaksikan pertandingan berkenaan.

Untuk rekod, Pilihan Selangor muncul juara tujuh kali iaitu pada 2001, 2003,2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014 manakala Pilihan Singapura pula muncul juara sebanyak lima kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.   

Kedua-dua pasukan muncul juara bersama pada edisi 2004 di Stadium Nasional Kallang, Singapura selepas perlawanan berkesudahan 2-2.

Piala Sultan Selangor diilhamkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.   

Baginda juga merupakan penaung kejohanan yang diperkenalkan sejak 2001 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Pemangku Raja Selangor.

Piala Sukan Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain