suria

Futsal AFF 2015: Malaysia Diaibkan Kekalahan Besar Kepada Thailand

KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara nyata bukan tandingan buat juara bertahan, Thailand selepas diaibkan dengan kekalahan 1-6 pada aksi kedua Kumpulan A Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Arena Futsal Bangkok, Thailand, malam Sabtu.

Keputusan itu membolehkan tuan rumah berkongsi enam mata dengan Timor Leste namun berada di tangga teratas menerusi kelebihan jaringan manakala Malaysia di tangga ketiga daripada lima pasukan dengan tiga mata selepas beraksi dua kali. 

Malaysia sebelum ini melakar kemenangan selesa 9-1 ke atas Brunei manakala Thailand membenam Singapura 8-0 pada aksi sulung Kumpulan A, masing-masing pada Khamis dan Jumaat.

Enam gol Thailand pada perlawanan ini dijaringkan Piyapan Ratana pada minit ke-10, Jetsada Chudech (m13), Chaiwat Jamgrajang (m15), Sorasak Phoonjungreed (m22), Nattawut Madyalan dan Krisada Wongkaeo, masing-masing pada minit ke-36.

Penyerang, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin menjaringkan gol tunggal skuad negara pada minit ke-39.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Brunei mencatat kemenangan sulung setelah mengalahkan Singapura 2-1 pada aksi yang berlangsung pada sebelah petang.

Malaysia dijadual menentang Timor Leste manakala Thailand akan berdepan Brunei pada aksi ketiga di gelanggang sama pada Ahad.

Empat pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan mara ke pusingan akhir Kejohanan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 di Uzbekistan, Februari depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain