suria

Venue Sukan SEA 2017: Sabah, Sarawak Mungkin Tidak Terlibat - Zolkples

KUALA LUMPUR:Temasya Sukan SEA Ke-29 pada tahun 2017 yang akan berlangsung di Malaysia  kemungkinan besar hanya melibatkan venue-venue di Lembah Klang sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Sea 2017, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, Sabah dan Sarawak tidak terlibat sebagai venue bagi temasya sukan dwitahunan itu.

“Sabah dan Sarawak kemungkinan tidak terlibat dengan Sukan SEA 2017 kerana beberapa  faktor. Pertama, Persekutuan Sukan SEA tidak menggalakkan terlalu banyak venue digunakan kerana ia boleh menimbulkan kesukaran kontinjen, terutamanya kepada ketua kontinjen (chef de mission) untuk membuat lawatan.

"Selain itu kos juga pastinya akan tinggi jika mengadakan acara jauh daripada venue utama serta masalah logistik,” jelasnya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA 2017 Kali Ke-3 di Majlis Oimpik Malaysia (MOM) pada Selasa.

Bagaimanapun bekas Ketua Pengarah Majllis Sukan Negara (MSN) itu berkata, venue-venue yang bakal terlibat pada temasya itu masih belum diputuskan.

“Sudah tentu Kompleks Sukan Bukit Jalil akan menjadi kluster utama. Selain itu Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) , PWTC, serta venue khas seperti Kompleks Jalan Duta akan terlibat.

“Secara keseluruhannya venue acara akan diadakan di sekitar Lembah Klang, cuma mungkin acara pelayaran berlangsung di luar kawasan ini kerana ia memerlukan kemudahan laut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zolkples turut memberitahu bahawa pihaknya masih belum memutuskan acara-acara yang akan dipertandingkan nanti.

“Mesyuarat hari ini (Selasa) lebih kepada perbincangan bersama dengan persatuan-persatuan sukan untuk mereka kemukakan cadangan bagi dipertimbangkan agar dimasukkan dalam dalam senarai penuh acara-acara yang terlibat.

“Buat masa ini, belum ada apa-apa keputusan dibuat dan ia bergantung kepada persatuan sukan itu sendiri. Sebab itu tadi kita tekankan supaya mereka kemukakan cadangan yang lebih realistik terutama dari segi bajet.

“Pertimbangan itu nanti bergantung kepada bajet yang kita sediakan. Mereka perlu mengemukakan cadangan dalam pelbagai bentuk seperti cadangan venue, cadangan menaik taraf peralatan yang terlibat, cadangan pegawai teknikal sukarelawan dan sebagainya,” jelasnya sambil menambah mesyuarat seterusnya pada 2 November ini bagi perbincangan yang lebih terperinci.

Tambah beliau, tiga acara sukan baharu turut dimasukkan dalam senarai pemilihan iaitu judo, kenu dan bola tampar.

Sebagai rekod, Malaysia bakal menjadi tuan rumah buat kali keenam sejak 1959 dan kali terakhir menganjurkan temasya ini pada tahun 2001 yang menyaksikan kontinjen negara mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengutip 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain