suria

Aaliyah Ketuai Cabaran Negara Di Piala Putrajaya

Aaliyah Yoong

KUALA LUMPUR: Pemenang dua pingat emas ski air Sukan SEA Singapura, Aaliyah Yoong Hanifah akan mengetuai cabaran negara di kejohanan Piala Putrajaya minggu hadapan.

Acara tahunan Piala Putrajaya yang turut menjadi Kejohanan Nasional Ski Air dan Wakeboard akan dilangsungkan pada 9-10 Oktober di Kompleks Sukan Air di Presint 6, Putrajaya.

"Aaliyah menyasarkan kedudukan podium bagi acara slalom dan jump walaupun bakal berdepan cabaran peserta Indonesia, Singapura dan Thailand," kata ketua jurulatih Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong dalam satu kenyataan, Rabu.

Atlet berusia 12 tahun itu dijangka mempertahankan kejuaraannya dalam acara tricks wanita selain mendapat pingat acara jump dan slalom.

Atlet kebangsaan lain yang akan mengambil bahagian adalah Syahir Nasir, Aiden Yoong Hanifah dan Adam Yoong Hanifah yang akan beraksi dalam acara slalom dan tricks manakala Jeff Oh serta Ariana Eimer untuk acara wakeboard.

Seorang lagi atlet berbakat, Arianna Chow tidak dapat mengambil bahagian atas nasihat doktor kerana baru kembali menjalani latihan selepas berehat enam bulan akibat kecederaan.

Tahun ini, Piala Putrajaya akan dilangsungkan sempena sambutan Hari Sukan Nasional dan menerima 60 penyertaan daripada beberapa negara.

Kuasa serantau, Indonesia menghantar 30 wakil, selain penyertaan dari Singapura, Thailand, New Zealand, Perancis, Britain dan Amerika Syarikat.

MWWF juga akan menganjurkan Hari Terbuka Ski Air dalam usaha mempromosikan sukan itu dan mereka yang berminat akan diajar secara percuma.

Sesi ini akan bermula dari pukul 4 hingga 6 petang 10 Oktober serta dari 9 pagi hingga 5 petang 11 Oktober.-- Bernama


Aaliyah Yoong, Piala Putrajaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain