suria

LHM Disaran Had Pemain Kebangsaan Dan Import

KUALA LUMPUR: Liga Hoki Malaysia (LHM) disaran untuk mengehad penyertaan hanya lima pemain import dan kebangsaan bagi sebuah pasukan dalam liga tersebut.

Mulai tahun lepas sebuah pasukan dibenar mengambil enam pemain import. Jurulatih pasukan Sapura, Tai Beng Hai berkata ini bagi memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk bermain.

"Pemain luar memang mampu membantu, tetapi sekiranya kita mempunyai terlalu banyak pemain asing, pemain tempatan tidak akan berpelung menunjukkan bakat mereka.

"Secara peribadi, saya fikir hanya lima pemain sama ada kebangsaan atau luar sahaja yang perlu dibenarkan menyertai kelab dalam liga," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Sapura membenam 6-0 bagi merebut tempat ketiga dan keempat kejohanan Piala TNB Ahad malam.

Pasukan Hoki Terengganu (THT) muncul juara selepas menang tipis ke 5-4 berdasarkan pukulan penalti ke atas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Stadium Hoki Kebangsaan di Bukit Jalil.

Berkongsi pendapat yang sama, jurulatih KLHC, Muhammad Dharmaraj Abdullah berkata beliau setuju agar pemain muda tempatan diberi peluang bermain dalam liga.

Namun beliau berkata sekiranya penyertaan pemain import dikurangkan, pemain tempatan akan menjadi lebih mahal berbanding pemain import.

"Bukan sahaja pemain tempatan sukar bermain dalam liga, malah pemain asing juga. Bagi saya, jika tiada pemain asing, harga pemain tempatan akan naik.

"Bila mereka dapat wang banyak, mereka tidak lagi kisah untuk bermain dalam pasukan kebangsaan. Jika kita henti ambil pemain asing, pemain tempatan akan menaikkan harga mereka," katanya.

Dharmaraj berkata pemain tempatan perlu menghargai untuk mewakili negara walaupun mendapat banyak wang daripada kelab.

"Sekiranya mereka mempunyai sikap ini, maka kita boleh kurangkan pemain asing dan pemain tempatan berpeluang bermain dalam liga," katanya.-Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain