suria

Hoki: THT Raih Kejuaraan Berganda

Pemain Pasukan Hoki Terengganu meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 (pukulan penalti) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2015 Ahad malam.Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Juara Liga Hoki Malaysia (MHL) 2015, pasukan Terengganu Hockey Team (THT) menutup tirai musim ini dengan bergaya selepas muncul juara Piala TNB, Ahad malam.

Pada aksi final penuh dramatik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil  disini, THT kendalian Sarjit Singh meraih kemenangan 5-4 ke atas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan sepenuh masa.

Kejayaan itu membolehkan THT membawa pulang wang tunai  RM70,000 dan PialaTNB yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman manakala KLHC meraih RM50,000 selaku naib juara.

Sementara itu pemain adik-beradik THT, Mohd Fitri dan Faizal Saari masing-masing dipilih pemain terbaik  kejohanan dan penjaring gol terbanyak dengan 18 gol, selain itu THT turut memenangi Anugerah Fairplay.

"Untuk memepertahankan kejuaraan sememangnya sukar tetapi kami berjaya melakukannya. Kedua-dua paasukan sebenarnya bermain dengan bagus tetapi nasib menyebelahi kami. Pemain bekerja keras untuk cipta kemenangan pada masa sebenar tetapi pemain KLHC berjaya bertahan," kata Sarjit Singh.

Aksi akhir berlangsung agak sengit dalam suku pertama apabila rembatan ketua pasukan KLHC Muhammad Razie Abd Rahim ketika mendapat peluang pukulan sudut penalti terkena palang pada awal permainan.

Kegembiraan THT meraih gol awal tercalar selepas jaringan gol padang pemain utama mereka, Faizal Saari pada minit ketiga tidak bertahan lama selepas dinafikan oleh pengadil dengan rujukan video yang menunjukkan bola terkena kaki beliau sebelum merembat gol.

Selepas rehat, Faizal menebus kekecewaan itu dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-36, namun dua minit berselang, Muhammad Razie menyamakan kedudukan juga melalui pukulan sudut penalti.

Perlawanan yang berakhir terikat 1-1 menyaksikan pemenang ditentukan dengan penalti.

Terdahulu dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Sapura  menewaskan Maybank 6-0 dan kemenangan itu membolehkan  mereka membawa pulang habuan berjumlah RM40,000, sementara Maybank menerima RM30,000.

"Pada mulanya memang agak sukar kerana kita tewas di saingan separuh akhir sebelum ini (dengan agregat 1-8 kepada KLHC). Kami ada sedikit kelebihan kerana ada kalangan pemain Maybank yang cedera jadi mereka ada kekurangan sikit. 

Kemenangan 6-0 memang satu yang mengejutkan," kata jurulatih Sapura, Tai BengHai.

Perlawanan akhir:

THT 1 -1 KLHC (THT menang dengan penalti 5-4) THT

Tempat ketiga: SAPURA 6-0 MAYBAN

Anugerah Fairplay: THT (RM4,000)

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Muhammad Razie Abd Rahim (KLHC) (RM2,000)

Penjaga gol Terbaik Kejohanan: Roslan Jamaluddin (KLHC) (RM2,000)

Penjaring Gol Terbanyak: Faizal Saari (THT) (RM2,000)

Pemain Terbaik Kejohanan: Mohd Fitri Saari (THT) (RM2,000) -Bernama

Piala TNB, THT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain