suria

Terbuka Korea: Dua Beregu Lelaki Negara Mara Ke Pusingan Kedua

Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mara ke pusingan kedua.

KUALA LUMPUR: Dua beregu lelaki negara mara ke pusingan kedua manakala cabaran Zulfadli Zulkiffli berakhir di kejohanan badminton Siri Super Terbuka Korea di Gimnasium Olimpik 2, Seoul pada Rabu.

Pasangan utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong hanya memerlukan 26 minit untuk menjinakkan beregu tuan rumah, Jun Bong Chan/Kim Dae Eun 21-15, 21-13 sebelum gandingan veteran, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong menundukkan wakil England, Marcus Ellis/Chris Langridge 21-16, 21-10.

Namun Goh/Tan berdepan tugas berat apabila juara dunia, Hendra Setiawan/Mohammad Ahsan menjadi lawan mereka di pusingan kedua esok selepas pasangan Indonesia itu menyingkirkan Puavaranuk Dechapol/Kitchen Kittinupon dari Thailand 21-13, 21-16.

Koo/Tan pula akan berdepan pilihan kelima Chai Biao/Wong Wei dari China yang mara selepas mengetepikan pasangan Denmark, Anders Skaarup/Kim Astrup Sorensen 21-19, 21-15.

Sementara itu, skrip sama ditunjukkan juara remaja dunia 2011, Zulfadli apabila tunduk mudah kepada pemain nombor 16 dunia, Tommy Sugiarto dari Indonesia 14-21, 8-21 di pusingan pertama.

Selepas mengharungi dua perlawanan di pusingan kelayakan Selasa, kecergasan  Zulfadli yang menjadi kelemahan utamanya, sekali lagi berulang apabila tidak sempat cergas untuk menghadapi lawannya pada Rabu.

Kekalahan Zulfadli itu bererti Malaysia tidak mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki selepas Datuk Lee Chong Wei tewas mengejut di pusingan kelayakan pada Selasa.

Cabaran dua beregu campuran negara turut berakhir apabila Chan Peng Soon/Goh Liu Ying tunduk kepada Lu Kai/Huang Yaqiqong dari China 21-18, 12-21, 15-21 manakala Tan Aik Quan/Lai Pei Jing tewas di tangan gandingan Belanda, Jacob Arends/Selena Piek 14-21, 21-17, 17-21.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan ini yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$600,000 (RM2.539 juta).

beregu lelaki, Terbuka Korea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain