suria

Van Huizen Dilantik Ketua Jurulatih Skuad Hoki Kebangsaan

Van Huizen (tengah) pada sidang media ketika sesi pengenalan jurulatih itu di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil pada Isnin. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah melantik bekas jurulatih negara Stephen Van Huizen sebagai jurulatih baharu skuad hoki lelaki kebangsaan berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Pelantikan bekas ketua pasukan skuad Olimpik Los Angeles 1984 itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Ow Soon Kooi pada sidang media di pejabat MHC di Bukit Jalil, di sini Isnin.

Van Huizen, 57, menggantikan Tai Beng Beng Hai selepas jurulatih itu berundur selepas gagal membawa skuad negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Jun lepas.

MHC turut melantik Lim Chow Chuan sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan dan Beng Hai dilantik sebagai Pengarah Program Pembangunan yang sebelum ini disandang oleh Chow Chuan.

Ow berkata pelantikan Van Huizen berdasarkan kontrak selama dua tahun untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 di India dan MHC akan melanjutkan kontraknya selama dua tahun lagi sekiranya Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Beliau berkata pelantikan Van Huizen dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai bekas pemain antarabangsa dan juga jurulatih ketika Malaysia meraih pingat perak buat pertama kali pada temasya Sukan Asia pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

"Van Huizen juga merupakan jurulatih yang membawa Malaysia layak kali terakhir pada temasya Sukan Olimpik di Sydney pada tahun 2000," katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh, menyifatkan Van Huizen sebagai calon yang paling sesuai menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih, kemungkinan sehingga Sukan Olimpik Tokyo.

Walsh, bekas jurulatih kebangsaan pada tahun 1990-an, berkata pihaknya sedang mengubah suai program transformasi hoki negara selaras dengan amalan kaedah kejurulatihan terbaik dunia.

Dalam pada itu, Van Huizen berkata beliau berasa berbesar hati atas pelantikan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan MHC atas keyakinan yang diberi kepadanya untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu.

Katanya beliau akan memastikan pasukan negara berada di tahap paling tinggi dari segi kekuatan mental dan fizikal sebelum berdepan dengan pusingan kelayakan Piala Dunia.

"Ia merupakan satu tanggungjawab yang besar kepada saya kerana Malaysia mempunyai rekod layak ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia sehingga baru-baru ini.

"Apa yang kita akan lakukan adalah untuk kembali semula ke landasan," katanya.

Stephen Van Huizen, hoki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain