suria

Tengku Abdullah Nyata Hasrat Letak Jawatan Presiden FAM

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

KUANTAN: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Isnin menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan kekalahan memalukan skuad Harimau Malaya 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khamis lepas.

Baginda bertitah jawatan tersebut akan dilepaskan secara berperingkat dalam tempoh terdekat dan setelah berpuas hati dengan segala perancangan untuk meningkatkan kembali pasukan bola sepak negara.

"Saya akan berundur secara berperingkat-peringkat kerana masih banyak lagi urusan dalam FAM yang perlu saya selesaikan (sebelum letak jawatan) untuk menyenangkan semua pihak.

"...saya akan mencadangkan supaya FAM melantik Datuk Afandi (Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah) selaku pemangku presiden kerana saya tidak lagi mahu main peranan secara aktif (dalam FAM)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas  kekalahan memalukan pasukan bola sepak negara kepada UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Abu Dhabi, minggu lepas.

Tengku Abdullah ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan marah dengan kekalahan tersebut dan menyifatkannya sebagai memalukan imej bola sepak negara.

"Ini merupakan satu kekalahan yang cukup memalukan dan mengaibkan, saya tidak boleh terima kekalahan ini. Kita telah terima peletakan jawatan Dollah Salleh dan saya tak nak perkara ini berpanjangan.

"Harap mereka dapat bangkit semula dan hanya pemain dan jurulatih sahaja boleh menjawab berhubung persembahan mereka dalam perlawanan tersebut. Post mortem perlu dilakukan secepat mungkin," titah baginda.

Titah Tengku Abdullah, sejak dari awal baginda sendiri lebih menyenangi jika FAM memilih jurulatih dari luar negara namun badan induk bola sepak negara itu bertegas memilih Dollah untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Sejak dari awal dahulu Dollah Salleh bukan pilihan saya, tetapi Jawatankuasa Teknikal dan ahli mahukannya... ini bukan alasan tetapi sejak dari dahulu saya sudah nyatakan harap mereka dapat ambil jurulatih dari luar negara, itu yang saya terkilan," titah baginda.

Bagaimanapun Tengku Abdullah bertitah, kekalahan dan aksi longlai pasukan bola sepak negara itu seharusnya dijadikan sebagai pengajaran dan FAM harus bangkit kembali memantapkan pasukan kebangsaan.

Titah baginda ia termasuk membuat perancangan awal untuk skuad negara menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 memandangkan harapan untuk melayakkan diri dalam Piala Asia 2019 semakin tipis.

Tengku Abdullah bertitah bagi tujuan itu satu pasukan baharu harus dibentuk untuk merangka kertas kerja yang berkaitan mengembalikan maruah pasukan bola sepak negara di bawah kendalian jurulatih baharu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk menggantung FAM berikutan aksi longlai pasukan negara itu, Tengku Abdullah bertitah "Kalau dia nak guna kuasa dia, siapa yang boleh tahan, dia ada kuasa, buatlah apa yang patut." - BERNAMA


Tengku Abdullah, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Lain