suria

Chong Wei Tetap Jadi Sandaran Pingat Emas Olimpik

Datuk Lee Chong Wei
PUTRAJAYA: Acara badminton tetap menjadi sasaran pingat dengan sandaran utama pingat emas negara pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil diletakkan pada jaguh perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata persediaan awal dan rapi perlu dijalankan segera bagi memastikan Chong Wei berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan terutama daripada dua pesaing dari China iaitu Chen Long dan Lin Dan.

Pada masa yang sama, beliau berkata acara lain seperti beregu lelaki, beregu wanita dan juga beregu campuran yang telah menunjukkan peningkatan pada kejohanan itu turut diberi perhatian kerana dilihat sebagai prospek untuk menyumbang pingat pada temasya berprestij itu.


"Kita tidak mahu letakkan harapan Olimpik pada Chong Wei sahaja, kita harap pingat juga boleh disumbangkan oleh beregu, dengan itu kita tidak hanya bergantung pada Chong Wei sahaja.

"Saya tidak hilang harapan terhadap Chong Wei. Beliau masih yang terbaik bagi meraih pingat emas perseorangan. Tapi kita kena bagi dia persediaan  secukupnya bagi Olimpik. Sekurang-kurangnya dia berada pada prestasi terbaik semasa Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita selepas sidang media bersama rakan korporat Hari Sukan Negara (HSN) di sini Isnin.

Pencapaian terbaik pasukan badminton Malaysia di Sukan Olimpik adalah meraih dua pingat perak dan dua gangsa sejak ia mula dipertandingkan secara rasmi pada temasya 1992 di Barcelona.

Chong Wei menyumbang pingat perak acara perseorangan lelaki pada temasya Olimpik 2008 di Beijing manakala Rashid Sidek pula meraih gangsa pada temasya 1996 di Atlanta.

Beregu lelaki Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock turut menyumbang pingat perak pada temasya di Atlanta selepas pasangan Razif/Jalani Sidek menyumbang pingat gangsa yang juga pingat Sukan Olimpik pertama negara di Barcelona (1992).

Sementara itu, Khairy berkata satu rundingan sedang dijalankan dengan bapa Zulfadli Zulkiffli yang juga jurulatih kepada pemain profesional itu untuk membolehkan beliau menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya Zulfadli, 22, bekas juara remaja dunia, dilihat berpotensi menggantikan tempat Chong Wei berikutan kejutan yang dibuat pada Kejohanan Dunia apabila layak ke pusingan ketiga.

"Saya melihat bahawa Zulfadli ada potensi untuk ganti Chong Wei sebab itu kita cuba berbincang supaya beliau masuk dalam sistem BAM. Kami sedang cuba untuk berbincang dengan bapanya dan juga pemain itu untuk melihat jika beliau mahu masuk BAM," katanya.

Pada aksi final Kejohanan Dunia di Jakarta semalam, Chong Wei sekali lagi gagal meraih gelaran juara dunia, satu-satunya kejohanan yang belum berjaya dimenangi sepanjang penyertaan di kejohanan itu.

Chong Wei tewas kepada jaguh dari China, Chen Long 14-21 dan 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan.

Artikel Lain