suria

Usaha Pembangunan Bola Sepak Wanita Di Peringkat Akar Umbi

Pemain-pemain MISC-MIFA (barisan depan) bergambar bersama pegawai pasukan selepas majlis penyerahan jersi pasukan di Kuala Lumpur pada Jumaat.
PETALING JAYA: Selepas 11 tahun menyepi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah bagi edisi kali ke-28 bermula 1-8 Ogos ini.


Hakikatnya tempoh lebih sedekad itu tanpa sebarang kejohanan wanita di bawah kelolaan FAM, tempo pemain-pemain wanita tempatan masih lagi rancak walaupun jelas sekali hanya muka-muka pemain veteran yang memeriahkan acara ini.

Tidak dinafikan, sambutan acara bola sepak wanita tidaklah semeriah pasukan lelaki namun jika usaha untuk menaikkan martabat acara ini berterusan, lambat laun ia akan diterima jua.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Norhuda Ahmad mengakui pihak dalam perancangan untuk mengadakan pembangunan bola sepak wanita seperti mana pasukan lelaki.

“Kita juga mahu melihat pembangunan bola sepak wanita dari akar umbi, tumpuan ke arah itu telah dilakukan yang mana salah seorang jawatankuasa saya adalah Datuk Marina Chin (Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia).

“Dalam masa sama kita dalam usaha untuk melaksanakan acara bola sepak di sekolah bagi pelajar perempuan dan memilih guru-guru wanita untuk berkecimpung sebagai jurulatih.

“Kita sudah ada pasukan perempuan bawah 14 dan 16 di sekolah di Kota Kinabalu bagi memulakan program pembangunan peringkat bawah ini.

“Harapnya dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang kita sudah ada pasukan muda yang mantap sebelum diketengahkan ke dalam skuad negara,” jelasnya selepas Majlis Undian dan Jadual Perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah di Wisma FAM, Jumaat.

Dalam pada itu, kejohanan yang berlangsung di padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Institut Latihan Kehakiman & Perundangan (ILKAP), Bandar Baru Bangi ini bakal menampilkan 10 pasukan termasuk negeri dan kelab.

Juara bertahan, Sabah pastinya menjadi pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan kali ke-12  selepas 1988, 1991, 1992, 1993, 1994, 1995, 1996, 1997, 1998 serta pada dua edisi terakhir iaitu 2003 dan 2004.

Kejohanan kali ini juga bakal diserikan dengan penampilan sulung Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) yang seharusnya diberi perhatian.

Ini kerana pasukan yang mendapat nasihat daripada bekas jurulatih wanita kebangsaan, Jacob Joseph dibarisi dengan bekas pemain-pemain Sabah dan juga kebangsaan.

Setiausaha Eksekutif MISC-MIFA, Vinod Kanna berkata, kehadiran pasukannya dalam kejohanan kebangsaan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain wanita India.

“Kita jarang melihat pemain-pemain wanita berbangsa India aktif dalam bola sepak, jadi objektif utama kami menjemput beberapa bekas pemain Sabah dan kebangsaan agar mereka boleh berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain baharu pasukan ini.

“Selain kemenangan pasukan, kami mahu lihat pemain-pemain baharu ini dapat mengutip pengalaman dan seterusnya mereka boleh menarik minat kawan-kawan mereka yang lain untuk bermain bola sepak.

“Kita akan terus mencungkil bakat-bakat muda pemain perempuan berbangsa India agar selepas ini kami mampu menubuhkan pasukan sendiri.

“Buat masa sekarang kami ada enam orang pemain berbangsa India dan saya yakin jumlah itu akan bertambah selepas ini,” jelasnya kepada mStar Online.

Turut beraksi pada kejohanan ini ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pahang dan Perak.

Piala Sharifah Rodziah, FAM

Artikel Lain