suria

85 Anggota IOC Undi Tuan Rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Hari Ini

Bekas pemain bola keranjang China, Yao Ming berucap pada sesi bidaan Beijing sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Kuala Lumpur, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Seramai 85 daripada 100 anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan mengundi bandar raya mana bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 antara Beijing dan Almaty, Jumaat.

Undian akan dibuat sejurus selepas kedua-dua bandar raya itu melakukan pembentangan terakhir mereka bagi meyakinkan IOC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Delegasi Almaty diketuai Perdana Menteri Republik Kazakhstan, Karim Massimov yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bidaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Almaty, memakai pakaian rasmi mereka dengan tali leher berlogo epal merah yang juga lambang bandar raya itu.

Mereka memulakan pembentangan selama sejam itu dengan memberi keyakinan Almaty mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk membiayai temasya tersebut sambil berjanji menganjurkannya dengan kos rendah.

Turut hadir sewaktu pembentangan itu adalah pemenang pingat Sukan Olimpik Sochi 2014, Denis Tan dan penari luncur ais kebangsaan Kazakhstan, Karina Uzurova.

Pada sebelah tengah hari, delegasi China yang diketuai Naib Perdana Menteri bagi Majlis Negeri, Liu Yandong memulakan pembentangan mereka dengan merujuk kepada pengalaman dan kejayaan bandar raya itu menganjur Sukan Olimpik 2008.

Delegasi itu memakai pakaian hitam dan bertali leher biru muda bagi lelaki manakala wanitanya tampil dengan pakaian biru muda.

Turut bersama delegasi itu adalah Olimpian serta bintang Liga Bola Keranjang NBA, Yao Ming dan pemenang dua pingat Olimpik yang juga juara dunia tiga kali acara luncur bebas, Li Nina.

Undian akan dilangsungkan pada pukul 4.15 petang ini, dengan anggota IOC dari negara yang membuat bidaan tidak akan terlibat dalam proses itu.Presiden IOC Thomas Bach memilih untuk tidak mengundi.-- Bernama

IOC, Sukan Olimpin Musim Sejuk

Artikel Lain