suria

De Gea Bukan Pilihan Van Gaal, Man United Dilema

Van Gaal (tengah) mengakui De Gea (kiri) bukan pilihan utamanya bagi mengharungi musim baharu ini.

MANCHESTER United kini dalam dilema mengenai penjaga gol mereka, David de Gea.

Pengurus pasukan, Louis van Gaal mengakui bahawa dia ragu-ragu mengenai masa depan De Gea di United, malah belum pasti apa yang perlu dilakukan dalam tempoh seminggu sebelum aksi liga bermula.

United sebelum ini meletakkan persetujuan perpindahan De Gea ke Real Madrid sekiranya Sergio Ramos bersetuju pindah ke Old Trafford.

Namun pada Khamis, kapten Real itu dilaporkan telah bersetuju untuk menyambung kontrak baharu selama lima tahun di Bernabeu.

Keputusan Ramos itu tersebar selepas beberapa jam Van Gaal mendedahkan De Gea tidak berada dalam fikirannya bagi memulakan musim baharu ini sebagai penjaga gol utama.

Tambahan pula, De Gea turut terbabit melepaskan satu gol ketika tewas  2-0 kepada Paris Saint-Germain pada aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Chicago pada Khamis.

Jurulatih Belanda itu berkata, situasi De Gea ini 'tidak menggalakkan' kepada mana-mana pihak yang terlibat.

Sementara itu, pengurus Real, Rafa Benitez enggan mendedahkan perkembangan terkini mengenai tawaran mereka kepada De Gea namun percaya masih ada masa bagi musim perpindahan ini dan berkata 'sedikit demi sedikit ia akan berada di tempatnya'.

Tambahnya: "Jika seseorang itu datang ke sini, kami akan mengalu-alukannya tetapi mereka mesti lebih baik daripada apa yang kami ada".

Situasi ini memaksa Van Gaal dan Ketua Eksekutif Manchester United, Ed Woodward untuk membuat keputusan sebelum aksi pembukaan liga bertemu Tottenham di Old Trafford 8 Ogos ini.

Mereka boleh mengekalkan keputusan dengan tidak membenarkan De Gea bersama Real Madrid musim ini kecuali Ramos ke United, namun itu sesuatu yang mustahil.

Atau mereka terpaksa akur gagal mendapatkan Ramos dan bersetuju dengan tawaran kelab Sepanyol itu terhadap De Gea atau hanya 'berputih mata' apabila kontrak pemain 24 tahun itu tamat dalam tempoh 12 bulan.

Artikel Lain