suria

Piala Perisai Komuniti: Mourinho-Wenger Lancar Perang Psikologi

Wenger (kiri) dan Mourinho bakal berdepan bagi aksi Piala Perisai Komuniti di Stadium Wembley Ahad ini.

PERANG psikologi di antara pengurus Chelsea dan Arsenal semakin rancak menjelang Piala Perisai Komuniti yang bakal berlangsung di Stadium Wembley Ahad ini.

Pada Isnin lalu, pengendali The Blues Jose Mourinho mendedahkan Arsenal telah berbelanja melebihi kelabnya sejak beberapa tahun ini.

Kenyataan tersebut dibalas Arsene Wenger yang menegaskan perbelanjaan mendapatkan pemain bagi kelab Arsenal tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Kami berbelanja apabila kami fikir perlu berbelanja dan tidak akan peduli apa yang orang lain fikirkan.

"Apabila kami tidak mempunyai wang, kami tidak akan berbelanja".

Arsenal menjuarai Piala FA Inggeris buat kali kedua berturut-turut Mei lalu dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ketiga, ketinggalan 12 mata di belakang Chelsea selaku juara.

Dalam pada itu perlawanan ini bakal menyaksikan bekas penjaga gol berpengalaman Chelsea, Petr Cech kemungkinan bakal membuat penampilan sulung bersama The Gunners musim baharu ini.

Malah Cech satu-satunya pemain baharu yang diikat Arsenal musim perpindahan ini walaupun pengarah kelab, Lord Harris memberitahu mereka boleh mendapatkan 'hampir semua pemain'.

Bagaimanapun Mourinho percaya skuad Wenger bakal memberi saingan sengit dalam perebutan trofi liga musim ini berdasarkan perbelanjaan mendapatkan pemain dalam tempoh dua tahun sebelum ini.

"Jika kamu mencampurkan jumlah perbelanjaan Arsenal dalam tempoh tiga atau empat tahun sebelum ini, saya yakin kamu akan menerima kejutan.

"Jika kamu meletakkan Mesut Ozil bersama Alexis Sanchez serta Calum Chambers, Mathieu Debuchy, kamu juga akan dapat kejutan.

"Ia sebuah pasukan yang hebat dengan penjaga gol yang luar biasa, malah mereka lebih daripada bersedia untuk merangkul juara," kata Mourinho sinis.

Artikel Lain