suria

Darren Teruja Sambut Tahun Baru Cina, Bakal Tinggalkan Aksi Skuasy

PETALING JAYA: Kejayaan skuad muda skuasy negara pada Kejohanan Skuasy Remaja Asia Berpasukan ke-17 di Pusat Skuasy awal bulan ini memberi seribu satu makna kepada Darren Chan Ti Lunn.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang ini menganggap gelaran juara berpasukan itu merupakan hadiah untuk diri sendiri sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

"Perasaan teruja lebih terasa pada perayaan tahun ini. Permulaan 'Tahun Kambing' yang baik bagi saya dan turut dikongsi bersama keluarga.

"Walaupun hari raya ini disambut dengan suasana sederhana, apa yang penting bagi saya adalah semua ahli keluarga ada di depan mata.

"Sebagai anak sulung daripada dua orang adik beradik, saya turut membantu ibu melakukan kerja-kerja rumah.

"Semalam (Rabu) saya tolong ibu siapkan 'ang pau' kepada tetamu yang datang beraya di rumah," jelasnya yang bakal menyambut usia 19 tahun pada September ini.



Dalam pada sama, Darren memberitahu, kejayaan dalam acara berpasukan di peringkat Asia itu kemungkinan trofi terakhir baginya.

Ini kerana Darren bakal menyambung pengajiannya di luar negara tidak lama lagi.

"Sebab itulah saya merasakan ia adalah antara kejayaan paling bermakna kerana selepas ini keadaan sudah berbeza.

"Kalau ikutkan hati, saya mahu teruskan sahaja karier sebagai pemain skuasy sepenuh masa memandangkan peluang untuk pergi lebih jauh terbuka luas.

"Tetapi saya terpaksa membuat pilihan untuk menumpukan perhatian kepada pengajian terlebih dahulu.

"Saya akan menyambung pengajian di Australia dalam bidang Ijazah Sains Aktuari untuk tempoh tiga tahun.

"Kemungkinan besar Jun ini saya akan terbang ke sana.

"Dalam tempoh itu, saya akan cuba membahagikan masa untuk terus bermain kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya," jelasnya yang mahu menghabiskan masa bersama keluarga sebelum berangkat ke luar negara.

Darren yang mula mengenali raket skuasy sejak usia lapan tahun lagi tidak pernah menduga akan bermain ke peringkat antarabangsa.

"Saya hanya bermain sekadar suka-suka sahaja dan tidak pernah meletakkan sebarang sasaran sehingga saya terpilih mewakili negara.

"Sejak itu, saya tidak toleh ke belakang lagi dan terus berlatih bersama skuad remaja dan membantu menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Saya berasa bangga menjadi salah seorang pemain skuasy negara kerana seperti yang diketahui, nama Malaysia memang terkenal di mata dunia dalam acara ini, lebih-lebih nama Datuk Nicol Ann David.

"Beliau jaguh skuasy no.1 dunia," tambahnya yang suka bermain permainan komputer jika ada kelapangan.
Pasukan skuasy remaja lelaki negara (dari,kiri) Farez Izwan, Darren Chan Ti Lunn, Ng Eain Yow serta Muhammad Syafiq Kamal.


Profil

Nama penuh: Darren Chan Ti Lunn

Tarikh lahir: 19 September 1996

Asal: Kuantan, Pahang

Adik beradik: Anak pertama daripada dua beradik

Kenangan manis: Merangkul dua pingat emas (Kejohanan Remaja Asia 2013), juara Kejohanan Berpasukan Asia 2015

Darren Chan Ti Lunn, skuasy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain