suria

JDT II Lonjak Ke Kedudukan Teratas Liga Perdana 2015

Pemain JDT11, Leandro Sebastian (jersi 10 putih) cuba mengatasi penjaga gol KL SPA Putrajaya FC, Muhammad Nur Aizat, pada perlawanan Liga Perdana di Stadium MPPJ Kelana Jaya di Petaling Jaya, Jumaat. JDT11 mendahului KL SPA 2-0. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) memintas Kedah untuk mengungguli persada Liga Perdana 2015 selepas membenam SPA Putrajaya FC 5-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat.

Penyerang muda JDT II, Shafiq Shaharuddin mencipta nama sebagai penjaring hatrik pertama musim ini apabila melakukan jaringan pada minit ke-45, 64' dan 80' serta dua gol sumbangan pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit-34 dan Nicolas Delmonte pada minit ke-78. 

Gol tunggal pasukan tuan rumah disumbang oleh penyerang import dari Nigeria, Michael Chukwubunna Ijezie menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Negeri Sembilan, yang dikenali sebagai NS Matrix, meneruskan rentak kemenangan dengan mengalahkan UiTM FC 2-0.

Penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe muncul wira NS Matrix dengan dua jaringan pada minit ke-38 dan minit ke-80.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah diberi tentangan sengit oleh DRB Hicom FC sebelum menang 3-2.

Tiga gol skuad 'Sabahrhinos' dijaring oleh El-Hadji Diouf pada minit ke-18, Md Azzizan Nordin (70') dan Shafuan Adli Shaari (74') manakala dua gol pasukan pelawat disumbang oleh Ivan Babic pada minit kedua dan Md Fakhrullah Rosli pada minit ke-21.

Terdahulu, DRB Hicom FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd Farid Saibun dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana mengasari Shafuan Adli pada minit ke-82.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan Kuala Lumpur mencatat kemenangan pertama musim ini selepas mengalahkan wakil kelab Lembah Klang, PKNS FC 2-1.

Pemain import dari Argentina, Gonzalo Soto meletakkan PKNS FC di hadapan pada minit ke-33 sebelum skuad 'The Hawks' bangkit dengan dua jaringan menerusi Kalle Sone pada minit ke-47 dan Choi Hyun-yeon pada minit ke-61.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Kedah gagal mempertahankan kelebihan dua gol pada awal permainan dan terpaksa berpuas hati dengan kutipan satu mata selepas terikat 2-2 menentang wakil Pahang, Kuantan FA.

Skuad 'Helang Merah' selesa berada di hadapan menerusi gol Keith Murtu Nah pada minit keempat dan Baddrol Bakhtiar, lima minit kemudian.

Bagaimanapun, Kuantan FA bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-22 dan sepakan penalti Milan Purovic pada minit ke-33.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan kelab T-Team dan Pulau Pinang berkongsi satu mata selepas seri tanpa jaringan.

Liga Perdana 2015, JDT II

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain