suria

Peluang Terengganu Dakap Satu Gelaran Liga Malaysia Cerah

KUALA TERENGGANU: Peluang skuad Terengganu menjulang satu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2015, mampu tercapai jika pemain dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata berdasarkan pemantauannya, prestasi pasukan berkenaan kini berada di tahap memberangsangkan.

"Saya yakin, kalau kita dapat kekalkan prestasi ini, peluang kita mendakap  satu piala musim ini akan berhasil," katanya kepada Bernama selepas Kursus Pemantapan Integriti bersama PBSNT, di sini, Sabtu.

Kursus dihadiri pemain pasukan Terengganu, T-Team dan Henelang yang bertujuan memberi pemahaman kepada mereka agar tidak terjebak dengan rasuah, perjudian dan lain-lain itu, dirasmikan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Skuad Terengganu akan bersaing dalam Liga Super manakala pasukan berstatus kelab dari negeri berkenaan, T-Team akan beraksi dalam Liga Perdana. Sebuah lagi kelab dari Terengganu, Henelang akan bersaing buat pertama kali dalam Liga FAM, musim ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Nizam berkata beliau cukup berpuas hati dengan prestasi pemain Terengganu di semua posisi.

"Saya lihat, pemain serasi dengan teknik baharu ditampilkan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dan saya harap pemain dapat mempraktikkannya," katanya.

Wan Ahmad Nizam berkata Terengganu menyandarkan harapan kepada penjaring terbanyak Liga Super musim lepas, Paulo Rangel yang merupakan bekas pemain Selangor serta Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin bagi membolosi pintu gol lawan.

Selain itu, beliau berharap penyerang dari Lubnan, Hassan Chaito dan pemain tengah dari Argentina, Gusavo Lopez dapat menampilkan prestasi terbaik bagi membantu Terengganu meraih satu gelaran dalam Liga M, musim ini.

Terengganu akan membuka tirai saingan Liga Super menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 7 Feb.

Terengganu, T-Team

Artikel Berikut

Artikel Lain