suria

Grand Prix F1 Malaysia Hidang Karnival Raksasa

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa sepang (SIC), yang terkenal di seluruh dunia, akan bertukar menjadi tapak hiburan raksasa dikenali sebagai 'F1 Carnival' ketika berlangsungnya Grand Prix Formula Satu (F1) Petronas Malaysia Mac ini.

Bertemakan 'Experience F1 Like Never Before' dan dipenuhi pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga serta pelbagai lapisan usia, karnival itu akan menjadi antara ciri utama edisi ke-17 Malaysia F1 dari 27 hingga 29 Mac.

Ketua pegawai eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata idea untuk menjadikan F1 sebagai suatu karnival dicetuskan beberapa tahun lepas dan mendapat lampu hijau daripada ketua eksekutif F1 Bernie Ecclestone pada mesyuarat baru-baru ini.

"Beliau (Ecclestone) bersikap terbuka mengenai idea yang kami kemukakan bagi menjadikan acara hujung minggu itu lebih meriah. Ia menawarkan sesuatu kepada semua orang dan saya boleh beri jaminan acara yang akan diadakan nanti, sungguh hebat.

"Tambahan pula, dengan tiket berharga serendah RM80, kami mengekalkan status kami sebagai acara F1 paling termampu oleh semua dan sesuai untuk seisi keluarga," katanya dalam kenyataan, Jumaat.

SIC menjadi hos Pusingan Dua musim 2015 perlumbaan 20 pusingan itu, yang kini sudah terasa kemeriahannya dengan penyertaan kembali Honda, pergerakan pemandu F1 terkemuka dan kemungkinan akan turut disertai pemandu termuda Max Verstappen, perlumbaan dunia F1 edisi ke-66 ini membuka tirainya di Albert Park, Melbourne dengan penganjuran Grand Prix Australia dari 13 hingga 15 Mac.

Antara acara yang menghiasi Karnival F1 ialah XTrack-drifting, Go-Kart untuk kanak-kanak dan dewasa, sukan air, zon karnival untuk keluarga, Ferris Wheel, rumah hantu dan tempat menjamu selera.

"Konsert selepas perlumbaan, yang akan menampilkan pemenang anugerah Grammy  Lenny Kravitz sebagai artis utama, terbuka kepada semua pemegang tiket, termasuk tiket berharga RM80. Ia merupakan acara sihat serta bebas daripada alkohol dan tembakau, yang turut terbuka kepada kanak-kanak," kata Razlan.

Beliau berkata, dengan menyasarkan lebih 120,000 penonton, SIC akan mengadakan kempen agresif termasuk promosi di peringkat antarabangsa, pameran bergerak, dan iklan di semua tempat tumpuan ramai termasuk pawagam dan melalui media sosial.

Katanya, SIC Zoomers akan berkunjung ke lebih 45 venue utama di seluruh negara untuk memasarkan tiket sambil menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.

"Oleh kerana perlumbaan tahun ini merupakan acara untuk seisi keluarga, SIC juga akan memberi tumpuan di pusat beli-belah dan pasar raya hiper dan kami akan bekerjasama dengan pasar raya hiper premier, Tesco, untuk mengadakan promosi," katanya.

SIC, F1, Petronas, Razlan Razali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain