suria

Liga Hoki Dunia: Malaysia Jumpa Jepun Aksi Separuh Akhir

Pemain Malaysia, Faizal Saari (tengah) menjaringkan gol ketika menentang Mexico pada perlawanan suku akhir saingan pusingan kedua Hoki Liga Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang, Singapura pada Khamis. - fotoBERNAMA
SINGAPURA: Selepas mengharungi pusingan awal dengan mudah pada pusingan kedua Liga Hoki Dunia di sini, skuad hoki kebangsaan bakal menerima saingan kompetitif apabila menentang Jepun pada separuh akhir, Sabtu ini.

Jurulatih negara Tai Beng Hai mengakui skuad negara bakal menerima saingan daripada Jepun jika dibandingkan perlawanan peringkat kumpulan dan juga kemenangan 10-1 ke atas Mexico pada perlawanan suku akhir pada Khamis.

Beliau menyifatkan Jepun sebagai sebuah pasukan yang tersusun strukturnya dan mantap daripada segi fizikal serta menampilkan permainan kemas dan agresif.

Jepun melangkah ke separuh akhir dengan membenam Ukraine 5-0 pada perlawanan suku akhir.

Beng Hai berkata anak didiknya perlu memanfaatkan peluang jaringan pada awal perlawanan dan memantapkan benteng pertahanan serta menyekat barisan serangan Jepun daripada membolosi kawasan 25 meter dari gawang gol.

Mengulas pertemuan dengan Mexico, katanya pemain menampilkan prestasi memuaskan dan menyifatkan ia sebagai petanda baik dalam keupayaan pemain menjaringkan gol.

Mengenai kecederaan bibir yang dialami oleh Muhammad Firhan selepas bertembung dengan penjaga gol Mexico, Moises BVergas, pada minit ke-40, Beng Hai berkata kecederaan itu memerlukan jahitan.

"Sama ada Muhammad Firhan dapat meneruskan aksi pada perlawanan seterusnya akan bergantung kepada laporan doktor," katanya.

Liga Hoki Dunia, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain