suria

Sedia Hadapi Perubahan - Tengku Abdullah

Tengku Abdullah (tengah) menjadi saksi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman FAM dan MP & Silva. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) mewakili persatuan manakala Cappelletti dari MP & Silva.
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui berdepan dengan situasi sukar ketika membuat keputusan untuk melantik MP & Silva sebagai rakan kongsi.

Jelasnya, keputusan yang dibuat bersama badan induk bola sepak Malaysia ini berdasarkan persetujuan bersama.

“Ada yang tidak bersetuju dan ada yang bersetuju. Namun langkah yang diambil untuk mengikat memorandum persefahaman bersama MP & Silva ini kerana kami perlu bergerak lebih pantas dan membuat perubahan.

“Kita lihat minat terhadap sukan bola sepak mendadak naik dan oleh itu perlu mengambil langkah yang drastik untuk bola sepak Malaysia.

“Kami percaya kerjasama dengan syarikat antarabangsa ini, mereka dapat membantu mengemaskan kembali struktur pengurusan, membantu menjadikan bola sepak negara lebih menarik, dan elemen-elemen yang lebih positif.

“Kita cuba nak membangkitkan semula semangat dan kegemilangan bola sepak Malaysia seperti tahun 70-an.

“Harap ini sesuatu permulaan untuk Malaysia dan tidak perlu toleh ke belakang lagi. Semua orang perlu bersedia untuk perubahan,” jelasnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman FAM Dan MP & Silva pada Jumaat.

Dengan perjanjian ini, FAM bakal meraih pendapatan RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun bermula 2016. Penubuhan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) ini turut membabitkan penyertaan kelab dan ahli gabungan FAM.

MP & Silva yang berpangkalan di London dan Singapura adalah syarikat yang menguruskan hak penyiaran antarabangsa ditugaskan untuk membantu FAM mendapatkan pelaburan daripada penaja berpotensi untuk Liga M musim ini.

Berdasarkan jaminan pendapatan yang bakal diberikan kepada FAM oleh MP & Silva untuk 2016-2021 ialah sebanyak RM420 juta (RM70 juta setahun), 2022-2024 RM255 juta (RM85 juta setahun), 2025-2027 RM276 juta (RM92 juta setahun) dan 2028-2021 RM309 juta (RM103 juta setahun).

Melalui perjanjian ini, FAM bakal menerima 40 peratus daripada RM70 juta setahun untuk tempoh enam tahun pertama dengan 30 peratus akan diagihkan kepada pasukan Liga-M.

Selebihnya akan digunakan untuk mengendali Liga-M, pengadilan serta pembangunan bakat muda.

“Dalam struktur baharu ini, pasukan yang menyertai liga akan mendapat bahagian masing-masing hasil daripada keuntungan komersial ini berdasarkan mata atau merit yang dikumpul sepanjang musim perlawanan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan MP & Silva Daniele  Cappelletti berkata, banyak faktor yang mendorong pihaknya bersetuju untuk melabur bersama FAM.

“Bagi kami Malaysia mempunyai pasaran yang baik dari segi demografi, peningkatan ekonomi, dinamik pasaran media dan juga liga yang diadakan oleh FAM.

“Kami yakin memorandum persefahaman ini dan akan memulakan tugas dalam strategi yang berkaitan,” jelasnya.

FAM, MP&Silva

Artikel Lain