suria

PFAM Bantu Gary Kemuka Rayuan

Izham Ismail

PETALING JAYA: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)  akan membantu bekas pemain Harimau Muda C, Gary Steven Robbat mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan hukuman yang dikenakan terhadapnya pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, pihaknya menghormati keputusan badan induk bola sepak negara ini menggantung Gary daripada bermain selama tiga bulan dan denda RM50,000.

“Yang salah tetap salah, namun saya sebagai wakil pemain profesional akan cuba bantu Gary membuat rayuan untuk meringankan hukuman tersebut.

“Kami menanti surat rasmi hukuman tersebut dan sehingga itu Gary belum berbincang apa-apa lagi dengan persatuan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Izham yang turut hadir menemani Gary ketika keputusan status kontrak pemain diumumkan oleh FAM petang Jumaat.

“Kami berpuas hati dengan mesyuarat yang berlangsung kerana pihak FAM sendiri memanggil Gary untuk memberi penjelasan.

“Kemungkinan rayuan yang akan dibuat nanti untuk meminta mengurangkan tempoh penggantungan dan juga denda memandangkan ia adalah karier utama Gary,” tambahnya lagi.

Bekas pemain tengah Harimau Muda C ini dijatuhkan hukuman penggantungan selama tiga bulan dan denda RM50,000 bermula  16 Januari 2015 selepas didapati bersalah menyumbangkan ke arah pelanggaran kontrak dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)dan Pahang.

Gary menandatangani kontrak dengan pasukan Pahang pada 14 November, manakala dengan JDT pada 21 November walaupun dia masih lagi terikat dengan kontrak FAM ketika itu.


Artikel Lain