suria

Laluan Dipendekkan Tidak Jejas Status LTdL 2015

PUTRAJAYA: Laluan perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, yang dipendekkan kepada lapan peringkat berbanding 10 tidak menjejaskan status 'Hors Classe 2.0 yang diiktirafkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pengarah Teknikal LTdL, Geoff Kronenburg berkata malah keputusan untuk memendekkan laluan itu adalah atas permintaan beberapa pihak termasuk pasukan terkemuka dunia.

Tindakan memendekkan tempoh perlumbaan pada edisi ke-20 ini menjadi daya tarikan kepada lebih banyak pasukan terkemuka dunia dan bukan kerana masalah kewangan, katanya pemberita selepas menhadiri majlis penyerahan penajaan Vittoria Industries Asia Pacific di Lobi Menara, Kementerian Belia dan Sukan pada rabu.

LTdL 2015 sejauh lebih 1,000km itu dijadual bermula dari 8 hingga 15 Mac ini.

Kronenburg menjelaskan kebanyakan pasukan dari benua Eropah dan Amerika Utara meminta perlumbaan itu dipendekkan memandangkan perlumbaan itu merupakan pembuka tirai musim jelajah berbasikal dunia.

"Walaupun ia dipendekkan, itu tidak bermakna ia sudah tidak mencabar lagi. Ia masih mencabar dan masih status Hors yang mengambil kira betapa mencabar perlumbaan itu dan juga tahap kesukaran perlumbaan berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kronenburg berkata kebanyakan laluan perlumbaan yang terjejas akibat banjir telahpun dibaiki dan perlumbaan dapat diteruskan di laluan terbabit.

Bagaimanapun, katanya pasukan teknikal akan membuat tinjauan bermula Khamis sebelum mengumumkan laluan tersebut secara rasmi kepada media pada minggu depan.

Kronenburg berkata pasukan yang akan menyertai perlumbaan kali ini merupakan beberapa pasukan yang pernah berlumba di LTdL pada edisi lepas, selain beberapa pasukan profesional, profesional benua dan pasukan benua yang baharu.

LTdL 2015 dianjurkan oleh Human Voyage Sdn Bhd., yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Malik Mydin.

LTdL 2015

Artikel Berikut

Artikel Lain