suria

Pelayar Negara Perlu Faham Undang-Undang Pelayaran - MYA

KUALA LUMPUR: Pelayar negara disaran agar berusaha untuk memahami undang-undang berkaitan sukan tersebut.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata ini bagi memudahkan mereka menghadapi situasi sekiranya timbul konflik berkaitan perundangan sukan itu.
|
Beliau berkata oleh kerana tidak memahami undang-undang sukan tersebut, terdapat pelayar negara yang terlepas peluang untuk bergelar juara atau menggenggam pingat emas dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Ini kerana mereka gagal mendebat keputusan juri atau menyangkal bantahan peserta lain walaupun mereka telah berjaya menduduki tempat pertama dalam perlumbaan.

"Oleh itu kita perlu memperkemas ilmu pengetahuan pelayar negara jika inginmereka pergi jauh lagi dalam sukan pelayaran," katanya kepada Bernama.

Mohd Afendy berkata usaha itu perlu dilakukan kerana Malaysia mempunyai ramai pelayar muda berbakat yang berkemahiran tinggi dalam mengendalikan perahu layar, namun masih kurang mahir dalam undang-undang sukan perahu layar.    

Beliau berkata MYA turut mengendalikan kelas undang-undang yang boleh disertai para pelayar.   

"Kita di MYA termasuk jurulatih dan saya sendiri memberi tumpuan khusus dengan mengadakan kelas khas kepada pelayar muda agar mereka dapat memahami dan menguasai secara mendalam peraturan dan undang-undang kejohanan sukan perahu layar sebelum turun ke laut," katanya.

Pencapaian Malaysia dalam sukan pelayaran di peringkat Asia adalah memberangsangkan. Misalnya para pelayar negara membawa pulang sebutir emas dan dua perak pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

Pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, Malaysia turut membawa pulang emas, begitu juga di Sukan Asia 2006 Doha.

Sukan layar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain