suria

Piala AFF Suzuki: 90,000 Tiket Habis Dijual Pada Jumaat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90,000 tiket bagi perlawanan akhir kedua antara Malaysia dan Thailand habis dijual pada pukul 5.30 petang Jumaat

Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram mengesahkan jumlah tiket yang habis dijual menjelang perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu pukul 8 malam itu.

“Tadi 5.30 petang, tiket semua habis dijual yang berjumlah 90,000. Dan esok (Ahad) tidak ada lagi kaunter dibuka atau tiket tambahan,” jelasnya kepada media selepas Mesyuarat Jawatan Eksekutif Khas kali Kedua Bagi Penggal 2014-2018 di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada Jumaat.

Biarpun penjualan secara online mendapat sambutan yang memberangsangkan, Sivasundram menafikan akan mengunakan kaedah itu sepenuhnya selepas ini.

“Penjualan tiket secara online sebanyak 35,000, yang menyaksikan 40 peratus jumlah keseluruhan tiket, manakala tiket yang dijual di kaunter sebanyak 55,000. 

“Pun begitu, kami tidak bercadang untuk menjual tiket secara online sepenuhnya kerana tidak semua orang ada internet ataupun kad kredit,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sivasundram memberitahu pasukan Thailand hanya mengambil 260 tiket sahaja daripada jumlah yang disediakan iaitu sebanyak 2,500.

“Penyokong Thailand akan masuk ke stadium melalui Pintu Biru, manakala penyokong Malaysia boleh masuk melalui semua pintu.

“Pintu akan dibuka pada pukul 4 petang dan saya menyeru agar semua penyokong tidak membawa bahan-bahan yang dilarang seperti mercun, suar atau laser,” tambahnya .

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain