suria

Skuad Lawan Pedang Tambah Satu Pingat Gangsa

PALEMBANG: Skuad lawan pedang menambah sebutir pingat gangsa dalam acara foil berpasukan lelaki pada Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di Pusat Promosi Sriwijaya, di sini.

Pingat terakhir Malaysia dalam acara berkenaan yang menutup tirainya pada Jumaat, adalah menerusi gandingan Muhammad Aqil Anuar, Nurul Affiq Nazrin Ismail dan Andrew Mok.

Trio lawan pedang negara itu tumpas pada aksi akhir pusingan round robin kepada atlet tuan rumah, Ramadhan Mohd Tauhid, Ariadinata Dennis dan Septiana Bayu dengan 33-45.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi trio Indonesia itu yang menewaskan Singapura 45-40 pada saingan akhir.

Skuad lawan pedang, bagaimanapun berjaya melepasi sasaran apabila meraih satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada temasya dwitahunan itu.

Natasha Ezzra Abu Bakar beraksi cemerlang dengan meraih pingat emas dalam acara foil individu wanita, manakala Muhd Aqil Anuar menyumbangkan pingat perak dalam acara foil individu lelaki.

Selain acara foil berpasukan lelaki, pingat gangsa Malaysia dalam acara lawan pedang adalah menerusi Joshua Koh dalam kategori epee individu lelaki.

Pengurus pasukan, Mohamed Ali Abdul Kader memuji prestasi atlet lawan pedang negara pada temasya itu terutama penampilan Natasha Ezzra yang berjaya menyumbangkan pingat emas.

"Sasaran kami satu perak dan satu gangsa. Natasha Ezzra telah membuktikan skuad lawan pedang mampu meraih pingat emas di sini walaupun berdepan atlet-atlet hebat tuan rumah dan Thailand," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain