suria

Harimau Malaya Mampu Tundukkan Thailand - Sudarsono

KUCHING: Pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Sudarsono Osman mahu pemain belajar daripada kesilapan yang menyebabkan kekalahan mereka kepada Thailand dalam perlawanan kumpulan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura.

Beliau berkata pasukan Harimau Malaya mendahului Thailand dua kali sehingga tempoh 10 minit terakhir, apabila mereka kecundang dalam perlawanan itu.

"Jadi saya fikir daripada pengalaman itu, pemain kita harus lebih bijak apabila bertemu pasukan sama (Thailand) pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Bangkok pada Rabu.

"Tidak kira sama ada kita bermain di tempat sendiri atau di luar, dan mungkin lebih banyak tekanan bermain di tempat sendiri," katanya di sini pada Isnin malam dan menambah pasukan negara bernasib baik kerana semua pemain bebas daripada kecederaan serius atau penggantungan perlawanan.

Beliau juga bersetuju pemain veteran seperti Muhammad Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan skuad kebangsaan membenam Vietnam 4-2 pada aksi timbal balik di Hanoi pada Khamis lalu selepas tewas 1-2 di Stadium Shah Alam, 7 Dis lepas.

Malaysia layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam dengan agregat 5-4.

"Saya fikir pengalaman dan kepimpinan Shukor dan Indra Putra telah membuka laluan untuk menembusi kubu lawan yang mana sukar diperoleh pada pusingan pertama separuh akhir menentang Vietnam," kata Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Membandingkan Thailand dan Vietnam, Sudarsono berkata berdasarkan pemerhatian, Thailand adalah pasukan yang kuat di rantau ini tetapi dalam perlawanan bola sepak, banyak kejutan boleh berlaku.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak itu juga menggesa semua penyokong untuk mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi seperti yang dilakukan oleh penyokong Vietnam di negara itu.

"Peminat bola sepak di Vietnam adalah yang terbaik," katanya.

Perlawanan akhir kedua antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Dis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain